Fahrin Ahmad Idam tempoh lebih lama bersama keluarga


Releven atau tidak figura bernama Fahrin Ahmad berpasak teguh di atas pentas seni tidak sekadar diukur dengan setiap butir bicara. Sepanjang tempoh 13 tahun memahat portfolio seni, nama Fahrin kini bukan sekadar satu jenama.

Ada yang menebak rahsia kekal lama untuk sentiasa relevan itu semata-mata kerana faktor wajahnya yang tampan, selain kemanisan tutur kata Fahrin sejak sekian lama menjadi antara punca betapa dia tidak pernah goyah di sebalik kehadiran ‘cendawan-cendawan’ muda di pasaran.

Hakikatnya, jejaka ini tidak pernah mendambakan setiap sorotan cahaya glamor kerana semua itu rencana dan takdir Tuhan. Nuraninya cuma satu, yakni menukilkan satu ketulusan dogma rasa supaya memperoleh tempoh yang lebih lama untuk sentiasa berada di samping keluarga tercinta.

Arakian sebab itulah Fahrin, 38, sentiasa menitikberatkan faktor penjagaan kesihatan sejak sekian lama. Beza sama ada seseorang itu mengabaikan tanggungjawab terhadap diri sendiri ataupun tidak nescaya divisualkan kepada khalayak tanpa sebarang paksaan yang dibuat-buat.


Kesihatan menjadi keutamaan Fahrin terutamanya apabila mengalami kecederaan lutut serius ketika masih aktif bermain ragbi sebelum ini.

Kepuasan diri

Lihat saja sosok pesona yang dimiliki Fahrin. Dia jauh kelihatan lebih muda berbanding usianya yang sebenar. Itu sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya. Andai kesedaran itu tidak terbit dalam sekelip mata, apa kata menilai diri sendiri ketika menghadiri pertemuan semula (reunion) bersama rakan-rakan lama.

“Ini bukan soal gara-gara saya bekerja sebagai seorang selebriti, maka sebab itu perlu menjaga kesihatan dengan baik. Sebaliknya, ia sebagai kesedaran betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan tidak kira siapa juga diri kita dalam kalangan masyarakat.

“Apa yang paling utama, saya mahu diberikan tempoh yang lebih lama bersama keluarga,” ungkapnya sepenuh jiwa bersama Sensasi Bintang.

Dilantik sebagai duta suplemen kesihatan, GNC Live Well Malaysia selama setahun bermula bulan ini, Fahrin tidak menjadikan kesibukan kerjaya sebagai alasan utama untuk meminggirkan penjagaan kesihatan.

“Menjaga kesihatan bukan sekadar menjalani latihan di gimnasium, ia lebih daripada itu. Sepatutnya, ia dijadikan gaya hidup.

“Sejujurnya, saya teruja dengan pelantikan sebagai duta produk berkenaan supaya sekurang-kurangnya dapat berkongsi sesuatu bersama keluarga, rakan-rakan dan juga khalayak,” ceritanya lagi.

Hujah Fahrin mudah. Apabila kita sihat, penyakit pun gentar untuk datang dekat. Jadi kita punya masa yang lebih lama bersama keluarga, itu saja.

“Ada yang terfikir, kita berdepan kekangan menghabiskan masa bersama keluarga jika terlalu sibuk bekerja ataupun fokus bersenam di gimnasium.

“Sedangkan ada yang terlepas pandang, tempoh itu sebenarnya lebih singkat jika kita memandang usaha untuk menjaga kesihatan sekadar sebelah mata,” jelasnya yang tidak kisah menghabiskan ratusan ringgit sebulan semata-mata untuk suplemen kesihatan.


Aktor bertubuh sasa ini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Coffee Prince.

Kelangsungan karier

Tampil sebagai hos lelaki pertama program Wanita Hari Ini selain diberikan kepercayaan menjadi hos Anugerah Skrin 2017 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 3 November nanti, Fahrin sentiasa optimis untuk mencari garis seimbang antara kerjaya dan keluarga.

“Apa yang penting, kesihatan perlu dijaga. Insya-Allah, yang lain-lain akan dipermudahkan,” getusnya.

Berdiri bersama mereka yang jauh lebih muda seperti Janna Nick dan Daiyan Trisha dalam drama Coffee Prince juga mengundang senyuman manis Fahrin.

“Mungkin, itu maknanya saya memang kelihatan muda,” ungkapnya melentur tawa membelah atmosfera.

Cuma, biar ada sesuatu yang ingin dikongsi Fahrin, pemuda tegap itu seakan-akan merahsiakan sesuatu berhubung rencana kariernya selepas ini.

“Ada satu projek yang besar, namun belum ada hitam putih lagi. Apa yang boleh saya katakan, ia tetap berkaitan pengacaraan,” kunci mulutnya ketat.


Fahrin tidak kisah seandainya Khalifa Fahrel tidak menyokong Arsenal, asalkan bukan Manchester United.

Kebahagiaan keluarga

Tatkala diajak bersembang mengenai kebahagiaan rumah tangganya, tanpa berselindung Fahrin mengakui dirinya bersama isteri, Elena Hani Eleas sentiasa teruja dan berdebar-debar sepanjang membesarkan putera kesayangan, Khalifa Fahrel yang kini berusia setahun termasuk apabila terpaksa menjalani rawatan di hospital tempoh hari.

Cuma pada masa sama, Fahrin dan isteri memiliki alasan tersendiri mengapa tidak mencipta akaun sosial peribadi anak kesayangan itu seperti mana pasangan selebriti yang lain.

“Terserah kepada pendapat masing-masing, namun ada baiknya anak yang mencipta akaun Instagram sendiri apabila dia benar-benar bersedia.

“Bukan apa, saya pernah terbaca sesuatu berhubung psikologi sebelum ini, sebab itu enggan untuk membuat akaun sosial khas buat si anak.

“Dia juga masih tidak tahu apa-apa, bimbang juga sekiranya tertekan dengan kritikan negatif masyarakat ketika semakin membesar. Jadi, sebagai ibu bapa, kita cuba mengawal apa yang boleh dikawal,” ceritanya lagi.

Tidak hairanlah, Fahrin juga tidak menghalang pasukan bola sepak mana yang bakal disokong Khalifa Fahrel kendatipun khalayak sedar keterujaannya sebagai peminat setia The Gunners.

“Jika tidak menyokong Arsenal pun tidak mengapa, asalkan bukan Manchester United,” seloroh Fahrin seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post