Penyanyi Vince Chong menimang cahaya mata kedua apabila isterinya, Fiona Edward, 36, selamat melahirkan bayi lelaki, 1 Oktober lalu.
Vince, 38, berkata, isterinya bersalin secara normal di Hospital Keningau, Sabah dan bayi lelaki seberat 3.12 kilogram itu diberi nama Tyler James Chong.
Anak sulungnya, Eva Heidi Chong kini berusia dua tahun dan empat bulan.
"Fiona melahirkan Eva menerusi pembedahan dan saya terkejut kerana Tyler dilahirkan secara biasa.
"Biasanya, jika anak pertama dilahirkan menerusi pembedahan, anak kedua juga dengan cara sama," katanya.
Menurut Vince, mengikut jangkaan doktor, Fiona sepatutnya bersalin pada 8 atau 9 Oktober.
"Saya pula berharap dia akan bersalin pada 30 September iaitu pada hari jadi saya. Apa pun saya bersyukur kerana Fiona dan bayi sihat. Fiona akan berpantang selama dua bulan di kampungnya di Keningau. Dia akan dijaga ibunya di sana.
"Saya bercuti seminggu dan akan kembali ke Kuala Lumpur kerana ada kerja," katanya.
Dalam perkembangan lain,Vince berhasrat untuk berpindah ke Keningau kerana mahu melihat anak-anaknya dalam persekitaran sihat. Semua keluarga Fiona menetap di sana dan saya sukakan keindahan negeri itu," katanya yang merancang berpindah ke Sabah lima tahun lagi.