Titian Cinta sarat konflik


Salah satu babak yang mana bekas tunang Aisy iaitu Rayyan muncul kembali dan menyebabkan hubungan Aisy dan Harris kembali retak.

Madu yang diberi, tuba pula dibalasnya. Itu yang berlaku dalam hidup Aisy apabila dia dihalau bagaikan tiada maruah oleh suaminya sendiri.

Setelah empat tahun membawa diri, Aisy kembali menuntut janji yang pernah dilafazkan oleh suaminya demi membebaskan diri daripada ikatan perkahwinan.

Namun, tanpa disangka suaminya, Harris berubah sikap daripada panas baran kepada suami penyayang. Harris juga sedaya upaya meraih kembali cinta Aisy.

Demikian inti pati drama Titian Cinta yang kini bersiaran di slot Akasia, TV3, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam.


Asfan Shah - Sumpah Cintaku (OST Titian Cinta)

Membariskan pelakon popular dan baharu seperti Zul Ariffin, Farah Nabilah, Daler Yusuf, Tisha Shamsir, Dian P. Ramlee serta Marisa Yasmin, drama arahan Heykal Hanifah dibawah terbitan Zamriez Golden Pictures itu membawakan kisah rumah tangga yang sarat dengan konflik.

Biarpun sedar kisah rumah tangga sering dijadikan rencah penceritaan sesebuah drama, namun Heykal optimis dengan drama arahannya itu.

“Saya akui drama-drama yang disiarkan sering menggunakan subjek sama, namun bagaimana seseorang pengarah itu mengolah dan mempersembahkan karyanya itu yang menjadi daya tarikan sesebuah drama.

“Setiap kali menghasilkan drama, saya tekankan dari segi bagaimana untuk persembahkan sesebuah cerita itu mengikut selera penonton dan juga menggunakan montaj menarik,” ujarnya yang mempertaruhkan dua lagu runut bunyi untuk drama berkenaan iaitu lagu Sumpah Cintaku nyanyian Asfan Shah dan Kasih daripada kumpulan Hyper Act.

Pernah menghasilkan beberapa buah drama seperti Gemersik Kalbu untuk siaran slot Akasia, Heykal mengaku, memang menjadi prinsipnya untuk menghasilkan sebuah drama menarik dan bermutu sementelahan ia disiarkan di slot yang tinggi tontonannya seperti Akasia.

“Maaf kata ada drama yang saya lihat sekadar tangkap muat. Sayang sekiranya slot yang tinggi ratingnya tetapi drama dihasilkan dengan sambalewa,” getusnya yang mempertaruhkan Zul Ariffin dan pelakon baharu, Farah Nabilah sebagai tunjang utama drama Titian Cinta.

Ditanya mengapa pelakon baharu dipilih untuk digandingkan dengan Zul, Heykal ada jawapannya. Menurut suami kepada pelakon Faezah Elai itu, stesen TV3 yang memilih Farah dan berasakan pilihan itu adalah bertepatan.


Salah satu babak menarik dalam drama Titian Cinta yang disiarkan di slot Akasia itu.

“Sejujurnya, pada mulanya saya sendiri tidak yakin dengan pemilihan Farah. Saya tidak mengenalinya lalu mencari sedikit maklumat mengenai pelakon tersebut. Saya juga menonton drama-drama lakonannya dan maaf kata memang tidak memuaskan hati.

“Namun, selepas saya menemuinya dan bertanya adakah dia sanggup mengikut segala tunjuk ajar dan dia okey, saya mula nampak perubahan dalam lakonannya. Malah, dia cukup serasi tatkala digandingkan dengan Zul,” jelas Heykal.

Berkongsi cabaran menghasilkan drama Titian Cinta, kata Heykal, dia kena mengejar tarikh siaran sedangkan ada enam episod lagi yang belum dirakam.

“Kami mula penggambaran pada 25 Julai lalu. Masih ada enam episod yang belum siap. Sedangkan drama berkenaan sudah disiarkan sejak 11 september lalu. Maka, saya kena siapkan lagi beberapa episod sebelum tarikh siaran episod berkenaan. Memang tak ada rehat dan masa untuk famili pun kurang. Tapi, itulah pengorbanan yang terpaksa dilalui demi menghasilkan sebuah karya,” ujarnya mengenai drama sebanyak 28 episod itu.

Titian Cinta berkisar tentang suami isteri bernama Aisy (Farah) dan Harris (Zul). Disebabkan hatinya dikaburi oleh perasaan cemburu, Harris sanggup menghina dan menghalau isterinya sendiri pada empat tahun yang lalu. Dia menyesal dengan tindakannya akibat mempercayai fitnah serta hasutan Sofea (Tisha), dan ingin menebus segala kesalahannya. Maka, kepulangan Aisy memang ditunggu-tunggu oleh Harris.

Aisy yang menyangkakan dirinya sudah dicerai, terkejut dengan perubahan suaminya yang dahulu bersifat panas baran, kini sangat penyayang. Harris sabar dengan karenah dan sikap Aisy terhadapnya. Dia juga langsung tidak berputus asa untuk memikat semula hati isterinya yang telah dilukai. Pelbagai perkara telah dilakukan oleh Harris untuk melembutkan hati isterinya itu.

Lama-kelamaan, hubungan antara Harris dan Aisy bertambah pulih. Aisy juga dapat menerima kembali suaminya itu. Dia menganggap jodohnya bersama Harris masih kuat. Namun, apa yang tidak diketahui Aisy ialah sifat cemburu Harris sebenarnya masih belum hilang.

Post a Comment

Previous Post Next Post