Syamim Farid Si gedik jahat


Setahun berehat, Syamim Farid kembali aktif memacu kerjaya seninya dalam lakonan. Bekas pengacara program hLive! itu mencari peluang meneroka lebih banyak karakter pada masa akan datang.

Terbaru, Syamim mencabar dirinya untuk membawa watak antagonis, karakter yang berlawanan dengan dirinya dalam drama web, Mata Cinta.

Memegang watak Ejay, Syamim akui ia mencabar kerana Ejay dan Syamim jauh berbeza. Katanya, ada yang kurang yakin dia mampu membawa watak itu kerana wajahnya kelihatan lembut.

“Saya terima tawaran ini sebab ingin membuktikan boleh bawa karakter mencabar dengan baik. Selain itu kerana konsep penceritaan Mata Cinta ala-ala drama Korea (K-Drama).

“Siapa yang tidak suka K-Drama dan saya rasa semua anak muda suka dan cerita ini sesuai untuk mereka,” katanya.

Syamim juga bersyukur kerana pengarah berpuas hati dengan lakonannya. Walaupun dapat menjayakan watak itu dengan cemerlang tanpa perlu melakonkan babak sama berkali-kali, Syamim masih menganggap ia sukar untuk dilakonkan kerana perlu menampakkan sisi jahat.

Tidak hanya gedik dan jahat, dalam drama berdurasi tujuh minit setiap episod itu, Syamim perlu menunjukkan karakter hitam dengan ekspresi muka.

Untuk menjiwai watak Ejay, Syamim menonton lakonan Fazura dan belajar caranya merealisasikan watak.

“Ejay seorang yang gedik dan banyak rancangan untuk menjatuhkan Mata lakonan Juliana Evans. Lebih mencabar, sudahlah wataknya jahat kemudian bertukar emosional yang perlu menangis. Itu pun salah satu cabaran juga.

“Di lokasi penggambaran, ada yang geram dengan watak saya yang jahat dan gedik. Juliana sendiri tanya sama ada saya sudah biasa memegang watak jahat. Dia puji lakonan saya baik.

“Pujian yang datangnya daripada seorang pelakon berpengalaman membuatkan saya lega dan terus bersemangat untuk mencuba lebih banyak watak lain. Saya harap dapat melakonkan watak psiko,” katanya.

Kata Syamin, dia sebenarnya gementar apabila mengetahui pelakon utamanya adalah Juliana. Secara automatik, dia jadi tidak yakin dengan dirinya mampu memberi lakonan cemerlang di sisi pelakon itu.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana Juliana turut memberi tip dan nasihat cara merealisasikan sesebuah watak. Syamin juga tidak melepaskan peluang untuk melihat cara Juliana berlakon.

“Saya ada tanya juga bagaimana cara dia memahami dan kemudian melakonkan watak itu. Dia berkongsi ilmu dan banyak membantu saya menjayakan watak Ejay.

“Sepanjang berada di lokasi, saya sentiasa melihatnya berlakon. Saya memerhati cara dia menzahirkan wataknya sebagai Mata. Kiranya saya berlakon dan belajar pada masa yang sama,” katanya ketawa.

Mengakui rindu pada dunia pengacaraan, Syamim bagaimanapun memperuntukkan tahun ini fokus pada lakonan. Rasa puas menjayakan sesebuah watak itu membuatkan dia ingin terus mencuba.

Syamim juga gembira apabila di media sosial ada yang bertanya ke mana dia menghilang. Katanya, apabila ada yang bertanya dan masih mengingatinya, itu tandanya mereka menghargai bakatnya.

“Pertanyaaan mereka membuatkan saya terfikir masih ada yang menerima kehadiran saya dalam industri. Rasa rugi pula andai berhenti di pertengahan apatah lagi ketika nama baru mula naik.

“Memang ada yang cakap kenapa saya perlu bersusah payah untuk kerja sedangkan saya boleh duduk saja di rumah.

“Tapi, kalau saya tidak bekerja, apa yang saya mahu buat? Ada perasaan bosan kerana saya sudah terbiasa bekerja sebelum ini. Lagi pun, suami mengizinkan,” katanya.

Kata Syamim, walaupun suaminya, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari tidak menghalang, sebagai isteri dia akan rujuk dahulu kepada suami apabila mendapat tawaran.

“Saya bukannya terima terus semua tawaran sebaliknya tunjukkan kepada suami skrip dan fahamkan dia mengenai watak itu, barulah saya boleh buat keputusan untuk terima atau tolak,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post