Isu penaja utama program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Datuk Seri Vida ‘merajuk’ dengan Astro selepas tidak diberi peluang bercakap dalam sidang media program itu Selasa lalu selesai.
Jurucakap Astro ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menghubungi Vida kelmarin dan meminta maaf selepas beliau memuat naik video di Instagram meluahkan perasaan kecewanya terhadap Astro.
"Apa yang berlaku adalah salah faham dan kami sudah menghubungi beliau untuk berbincang mengenai kejadian sebenar dan ia sudah diselesaikan," katanya.
Terdahulu, Vida menyelar pihak Astro kerana tidak memberinya peluang bercakap pada majlis sidang media program realiti itu.
Vida memuat naik empat video berserta status meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa terhadap Astro sebaik sidang media itu tamat.
Dalam salah satu status video itu Vida berkata, luahan itu bukan gimik dan dia berpendapat Astro sepatutnya membenarkan dia berucap kerana menaja program realiti itu yang didakwa bernilai jutaan ringgit.