Sumpahan Hyper Act


Di sebalik anggota kumpulan yang bersilih ganti, Hyper Act masih mampu bertahan hingga sekarang.

Dalam kapal, mesti ada nakhoda. Begitu juga dengan band. Cuma jika ada begitu ramai nakhoda, kapal pun boleh jadi karam dibuatnya.

Lain pula ceritanya dengan Hyper Act yang masih utuh meneruskan perjuangan di sebalik setiap kontroversi pertukaran ahli bersilih ganti sejak ditubuhkan pada 2009 sehingga mengelirukan peminat.

Cuma, mungkin ramai yang terlepas pandang mengapa ia disifatkan sebegitu kerana Hyper Act masih utuh dan tidak ‘karam’ walau apa jua gelora badai yang menimpa mereka sejak sekian lama.

Pemergian dua vokalis terdahulu, Ronnie Hussein dan Kecik juga seakan-akan tidak direstui segelintir peminat sehingga melabelkan Hyper Act sebagai band yang ‘bermasalah’.

Terbaharu, ketiadaan Toy sebagai pengasas band ini juga menimbulkan polemik betapa Hyper Act seakan-akan terkena satu ‘sumpahan’ yang sukar diterjemahkan dengan susun atur aksara. Bersama Sensasi Bintang, Hyper Act ada jawapan yang tersendiri berhubung perkara itu.

SENSASI BINTANG: Di mana Toy? Sebagai pengasas kumpulan, mengapa dia tidak lagi bersama Hyper Act?

FIRMAN: Ramai yang salah faham. Toy masih bersama kami terutamanya urusan berkaitan syarikat, Hype Beat. Cuma, dia kini fokus dengan karier solonya bersama band yang turut dianggotai JD Pop Shuvit.

LOCO: Situasi Toy berbeza berbanding kontroversi yang pernah menimpa Hyper Act sebelum ini. Tidak timbul sebarang isu sesama kami, melainkan ia menjadi spekulasi pihak luar.

AKIR: Seperti mana Baby yang sibuk bersama Akim & The Majistret, begitu juga dengan Toy. Pemain dram sebelum ini, Labib juga akan tampil dengan sebuah band projek bersama Hype Beat tidak lama lagi, jadi ia bukan sesuatu isu. Kami juga terharu dengan komitmen yang diberikan Intan meskipun telah berkeluarga.

Seakan-akan terkena ‘sumpahan’, apa rumusan yang boleh kalian ungkapkan terhadap pertukaran anggota kumpulan yang membelenggu Hyper Act sejak sekian lama?

AKIR: Sejak dahulu, kami mahu membuktikan kekuatan sebuah band bukan semata-mata kerana penyanyi. Alhamdulillah, kami masih mampu bertahan sehingga sekarang.

EJAM: Sebagai anggota baharu, saya percaya ia disebabkan Hyper Act masih wujud sehingga sekarang. Lazimnya, mana-mana band akan dibubarkan jika kehilangan penyanyi, tetapi tidak Hyper Act.

FIRMAN: Yang paling utama, produk Hyper Act cukup kuat untuk terus memikat peminat. Jika bukan saya sekalipun yang menjadi vokalis, lagu mereka tetap kuat menarik perhatian pendengar.

Mengapa memilih Firman sebagai vokalis terbaharu Hyper Act?

LOCO: Sebab utama Firman menyertai kami kerana tidak timbul siapa menumpang populariti sesiapa kerana dia juga telah memiliki kelompok peminat yang tersendiri.

AKIR: Firman banyak membuat persembahan pentas bersama kami sebelum ini, jadi mengapa tidak dia menyertai kami secara tetap.

EJAM: Sesiapa saja yang menyanyikan lagu Hyper Act, ia tetap dapat dikesan peminat yang tahu lagu itu lagu Hyper Act. Vokal Firman juga bagus, jadi apa salahnya.

FIRMAN: Sejujurnya, saya lebih suka beraksi bersama band, jadi tidak begitu kesepian di atas pentas. Boleh ‘krik-krik’ dibuatnya. Saya menganggap lamaran menyertai Hyper Act sebagai tepat pada masanya.

Ada sebarang kata-kata terhadap kedua-dua bekas vokalis terdahulu?

AKIR: Ia terlalu peribadi untuk didedahkan kepada umum, peguam juga menasihatkan kami supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

LOCO: Apa yang sudah terjadi biarkanlah ia berlalu. Diharapkan perjalanan karier masing-masing akan semakin sukses selepas ini.

Sebarang projek terkini yang boleh dikongsikan bersama pembaca Kosmo! Ahad?

HYPER ACT: Alhamdulillah, single terbaharu kami berjudul Kasih sudah mencecah lebih 2.3 juta tontonan selepas satu bulan dimuat naik di YouTube. Ia juga mendapat sambutan hangat peminat selepas dijadikan runut bunyi drama popular berjudul Titian Cinta. Jika tiada aral melintang, kami akan tampil dengan album baharu selewat-lewatnya pada penghujung tahun depan.

PANEL 1 AKIR

Pemilik nama sebenar Mohd. Zakir Mohd. Rahizan ini merupakan antara anggota asal yang masih menyarung jersi Hyper Act selain Baby dan Intan. Dilahirkan pada 28 Januari 1982 dan berasal dari Johor Bahru, Johor, lagu-lagu ciptaan Akir dan Frozen merupakan nadi Hyper Act sejak ditubuhkan pada tahun 2009.

Post a Comment

Previous Post Next Post