Kelibat aktres berdarah kacukan ini di dalam bidang seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Biarpun sudah berkahwin dan bergelar isteri kepada kerabat Diraja, namun ia bukan alasan buat Che Puan Juliana Evans, meninggalkan karier yang amat diminatinya.
Bahkan akui Juliana atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans, 28, sokongan padu dari suami, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj mendorongnya untuk meneruskan karier seperti biasa.
Namun, dia kini tidak lagi sewenang-wenangnya menerima apa sahaja tawaran yang datang, sebaliknya tawaran itu akan dipertimbangkan sebaik mungkin dan mendapat persetujuan suaminya.
"Kalau ikutkan sejak dulu lagi saya selektif, tapi kini mungkin lebih selektif. Saya perlu lebih peka, lebih-lebih lagi dalam menjaga nama baik suami dan keluarga mertua.
"Suami pula tidak menghalang untuk saya terus aktif, tapi itu juga bukan alasan saya nak ambil mudah menerima tawaran yang datang. Saya akan tanya dan berbincang dengannya terlebih dahulu.
"Lagipun bidang seni sudah menjadi minat saya sejak sekian lama, jadi tak mungkinlah saya akan tinggalkan begitu sahaja biarpun sudah berubah status," katanya ketika ditemui pada pelancaran drama mini, Mata Cinta baru-baru ini.
Berkongsi perkembangan terbarunya, Juliana yang mesra di sapa dengan panggilan Jue berkata, lakonannya kini boleh ditonton menerusi platform digital, www.matacinta.com.my dan aplikasi Gempak sejak 9 Oktober lalu.
Jelas Jue, naskhah itu merupakan satu projek berbeza yang pernah dilakukan sebelum ini kerana setiap episod ditayangkan tidak lebih tujuh minit dan amat sesuai dengan kehendak penonton masa kini yang banyak menggunakan telefon pintar untuk menonton video tanpa perlu menghabiskan masa panjang.
"Selepas beberapa bulan tidak berlakon, Mata Cinta boleh dianggap sebagai 'comeback' saya.
"Apa yang menariknya mengenai naskhah ini kerana ia berbeza dengan drama atau filem yang pernah saya jayakan, di mana karakter saya sebagai Matahari digambarkan lebih 'gila-gila'.
"Bukan itu sahaja, drama ini diinspirasikan daripada drama Korea dan saya berpeluang bekerja dengan ramai pelakon baru.
"Atas faktor itulah ia telah menarik minat saya, walaupun saya perlu masuk ke set dua bulan selepas berkahwin," ujarnya yang kali terakhir terlibat dengan penggambaran menerusi filem Pulang, tahun lalu.
Selain Juliana, Mata Cinta turut membariskan pelakon seperti Sasha Saidin, Dynas Mokhtar selain pendatang baharu, Julian Buteau, Che Puan Syamin Farid, Aush Abdul Wahid dan Adery Chin.
Tambah Juliana, selain sibuk dengan rumah tangga dan perniagaan berasaskan aksesori wanita, dia juga bakal muncul sebagai pengacara bagi program Mahligai Cinta dan menjalani penggambaran bermula bulan hadapan.
Mood bulan madu
Dalam pada itu, diusik mengenai kehidupannya selepas bergelar isteri, Juliana berkata, dia dan suami masih lagi dalam proses mengenali satu sama lain dan fasa berbulan madu.
Jelas Juliana, sekiranya ada masa terluang, mereka gemar untuk bercuti bersama-sama.
"Selain mengeratkan perhubungan, bercuti juga memberi peluang untuk kami lebih mengenali antara satu sama lain.
"Selalunya kami memilih untuk bercuti di pulau peranginan sebab inilah masa untuk saya uji dia boleh ‘survived’ atau tak dengan saya," katanya yang merancang untuk bercuti ke Pulau Maldives, Hawaii atau pun Bora-Bora sekiranya berpeluang.
Tidak hanya menikmati hidup berdua, Juliana berkata, status barunya ini mengajarnya banyak mengenai erti pengorbanan, tolak ansur dan kepercayaan.
"Perkahwinan ini bukan hanya tentang cinta, tetapi ia juga membuatkan kita lebih mengetahui sisi baik dan buruk diri sendiri serta pasangan.
"Di situlah pentingnya pengorbanan, tolak ansur dan kepercayaan. Saya juga banyak merujuk ibu saya mengenai rumah tangga," katanya yang bersedia untuk menimang cahaya mata pada bila-bila masa sahaja.