Pelakon ini tidak kisah menjadi titik tumpuan asalkan dapat menyampaikan benda yang baik dan membuka mata orang ramai.
Empunya nama Fathia Latiff bagaikan sudah lali biarpun setiap kali muncul di hadapan media, pasti gelora kontroversi menjadi bahan bicara.
Ironinya, pelakon cantik itu langsung tidak terjejas emosinya saat membalas kecaman yang diterima apabila dikatakan menyalah tafsir tajuk berita daripada sebuah portal online mengenai isu cashless.
Bagi Fathia, apa sahaja kutukan orang memberi aura positif pada dirinya, namun itu tidak bermaksud dia mengharapkan dan sengaja menarik perhatian sebegitu.
Hakikatnya, dia sangat faham maksud cashless yang disuarakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi sebuah portal baru-baru ini.
“Sudah tentu saya faham maksud cashless itu. Malah, saya boleh komen secara terperinci mengenai isu cashless tersebut jika kalian mahu. Cuma, saya rasa ia bukan satu idea yang baik jika Malaysia tidak lagi menggunakan wang bagi sesuatu urusan menjelang tahun 2050,” ujarnya bersemangat ketika dihubungi Sensasi Bintang.
Sebelum ini, pelakon yang belum reda dengan isu berpakaian seksi dan menari bersama pelakon Natasha Elyzza dalam video Bigo Live itu menulis tweet: “Kita nak jadi macam zaman batu balik ke? Buat sistem barter balik. Kau bagi aku tv (televisyen), aku bagi kau basikal. Takut...”
Tweet Fathia itu membalas tajuk berita Khairy: Malaysia to be cashless society by 2050 di sebuah portal.
Mengulas lanjut, kata Fathia, dia tidak bodoh dan mempunyai pendiriannya sendiri dalam mengutarakan sesuatu isu yang berlaku. Malah, ada sebab mengapa dia berasakan isu cashless itu sesuatu yang tidak relevan untuk dipraktikkan pada tahun berkenaan.
“Saya sengaja tweet isu tersebut dalam bentuk sarkastik. Saya bukan sekadar artis yang hanya pergi ke lokasi untuk berlakon semata-mata. Saya juga banyak merantau ke pelosok negeri dan melihat betapa ramai individu yang hidup dalam keadaan daif. Betapa susahnya mereka mahu mencari wang.
“Jadi, saya mahu masyarakat sedar dan fikir ke depan mengenai relevannya penggunaan tanpa tunai pada tahun itu. Cuba buka mata. Jangan main hentam sahaja,” bidasnya yang bersyukur secara tidak langsung komen balasnya mengenai isu cashless itu membuka mata ramai orang terutamanya golongan muda untuk tahu mengenainya.
Bagi Fathia, dia tidak kisah menjadi titik tumpuan asalkan dapat menyampaikan benda yang baik dan membuka mata orang ramai.
Dalam perkembangan lain, Fathia memberitahu, dia bakal berlakon di Filipina dalam masa terdekat ini. Malah, dia kini juga aktif menghadiri ekspo-ekspo yang dianjurkan oleh kerajaan.