Catriona Ross berjaya menghilangkan berat badan daripada 75 kilogram hingga 58 kilogram dalam masa lima bulan dengan mengamalkan cara hidup sihat seperti berenang, mendaki gunung dan mengawal pemakanan.
Banyak yang dibualkan Catriona Ross pada petang rembang itu. Dia bercakap tanpa henti. Penuh semangat dia mengalirkan cerita, yang dalam kebanyakan bicara kami ia diakhiri dengan derai tawa.
Masakan tidak, caranya bercerita membikin pegun di hati, seolah-olah sedang melihat dia menjiwai sesuatu karakter yang menjadi ‘makanannya’ dalam drama.
Lantas di sebalik keseronokan yang ditonjolkannya, Sensasi Bintang cuba membolos masuk ke dalam hatinya. Menyelongkar jerih perihnya mendapat berat badan ideal selepas berasakan diri seperti belon dengan berat mencecah 75 kilogram (kg)dan menyelami perasaannya berlakon semula setelah sekian lama memencil diri.
Sudah sedia maklum mengenai perjalanannya kembali ramping, namun ada perkara lain yang ingin dikongsikan pelakon berdarah kacukan Melayu-Scotland itu dan barangkali ia tidak diketahui umum.
“Selepas melahirkan anak pertama pada 2010 dan berat badan dari 56kg, tiba-tiba mendadak naik hingga 75kg, memang saya berasa rendah diri. Semangat nak berlakon, bahkan untuk keluar rumah pun tiada. Bukannya tiada tawaran, sebaliknya macam-macam alasan diberikan ketika penerbit menghubungi saya dan akhirnya mereka beranggapan saya tidak lagi mahu berlakon.
“Suami pula bertanya, ‘Awak tidak mahu berlakon ke? Awak tak adalah gemuk sangat. Mereka faham awak dah ada anak’, yang mana saya jawab, ‘Tak mahu! Saya gemuk gila’,” ujarnya bersungguh-sungguh.
Kembali serius berlakon pada tahun ini selepas berjaya menurunkan berat badan sehingga 58kg pada tahun lalu, Catriona kembali meraih percaya diri. Malah, dia bersemangat mengatur langkah yang pasti dalam bidang seni tanpa mahu menoleh lagi.
“Memang rasa gementar sebab kita sudah lama tidak berlakon secara serius. Namun, pada masa sama saya teruja kerana sedar berlakon adalah ‘makanan’ saya dari dahulu lagi,” jelasnya yang meraih beberapa tawaran melakonkan watak berat dalam drama produksi Sheila Rusly iaitu JS Pictures Sdn. Bhd. dan juga Suhan Movies.
Nada suaranya bertukar sayu tatkala berkongsi ayat yang terbit daripada mulut penerbit dan pelakon, Sheila Rusly kepadanya.
Katanya, selepas habis berlakon drama terbitan JS Pictures iaitu Dekatkan Jarak Kita, Sheila mengatakan lakonannya sekarang jauh lebih matang berbanding dahulu. Maka, dia mencabar Catriona untuk menjadi pelakon berkarakter dan tidak lagi memilih watak picisan.
“Saya menangis bila Sheila berkata begitu. Maka, saya pegang kata-katanya itu sebagai penguat semangat untuk terus mendepani diri dalam bidang seni,” katanya lagi.