Pelakon yang mencipta nama menerusi filem Mat Moto: Kami Mat Moto, Bukan Mat Rempit, Falisha Crossley selamat melahirkan bayi perempuan pada 6 Oktober lalu.
Bayi seberat 3.25 kilogram itu dilahirkan jam 4.11 petang dan diberi nama Nur Raysha Mikhayla Mohamad Rafiq.
Falisha, 31, berkata setiap nama anaknya itu membawa maksud tersendiri iaitu Nur bermakna cahaya, manakala Raysha pula gabungan namanya dan suami yang membawa erti puteri atau pemimpin. Mikhayla pula membawa maksud anugerah Allah.
Menerusi entri yang dimuatnaik di Instagram, semalam Falisha berdoa anak sulungnya itu membesar menjadi insan yang baik dan berguna kepada masyarakat.
"Semoga Raysha membesar menjadi anak yang solehah, taat kepada perintah Allah dan mempunyai akhlak terpuji. Saya juga berharap dia akan mendengar kata dan menjadi cahaya yang menyeri hidup semua orang," katanya.
Rata-rata peminat mengucapkan tahniah dan mendoakan kesejahteraan Falisah dan puterinya menerusi ruangan komen pada foto terbabit.
Falisha dan Mohamad Rafiq yang juga seorang juruterbang diijabkabulkan di Masjid Darul Hana, Kuching, Sarawak pada 2 Januari lalu selepas enam bulan bertunang.