Ibu doa Siti Nurhaliza dapat anak perempuan


Siti Salmah Bachik yang juga ibu kepada Datuk Siti Nurhaliza Tarudin adalah antara individu yang paling gembira apabila mendengar perkhabaran anak kesayangannya itu kini hamil empat bulan.

Mengakui tersentuh hati mendengar berita yang paling ditunggu itu, Siti Salmah berkata, dia tidak pernah putus berdoa supaya kegembiraan dan kebahagiaan akan sentiasa menjadi milik anaknya itu.

"Sebagai ibu, saya gembira apabila hajat dan impian yang lama dinanti Siti akhirnya dimakbulkan Tuhan. Alhamdulillah.

"Tiada apa yang saya harapkan kecuali kehadiran zuriat itu akan menambahkan lagi seri dalam kehidupannya," katanya.

Siti Salmah berkata, Siti terlebih dahulu menghubunginya untuk memaklumkan berita gembira itu sebaik disahkan pakar perubatan.

"Ketika itu saya berada di kampung di Kuala Lipis, Pahang. Pada mata orang, Siti dilihat memiliki segala-galanya tetapi, diuji begitu lama oleh Allah sebelum dikurniakan rezeki hamil. Itu tanda Allah begitu menyayanginya," katanya.


Siti bersama ibunya, Siti Salmah Bachik (kanan) dan ibu mentua, Siti Zainab Hanafi.


Siti ketika mengumumkan kehamilannya di majlis kesyukuran di rumahnya, di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Siti Salmah berkata, biarpun pernah diuji dugaan apabila keguguran dua tahun lalu, penyanyi kesayangan ramai itu tidak pernah berputus harap dan berusaha untuk mendapatkan cahaya mata.

"Dia selalu mengingatkan saya supaya berdoa segera dikurniakan zuriat. Ketika di Makkah, itu antara doa yang sering saya minta kepada Allah. Mengenai jantina cucu, saya pernah bertanya Siti dan dia memaklumkan tidak kisah jika dikurniakan anak lelaki atau perempuan.

"Tetapi, bagi saya, jika Siti dikurniakan bayi perempuan, tentu lebih seronok. Apa yang lebih penting, anak yang bakal dilahirkannya nanti sihat dan cukup sifat," katanya.



Sementara itu, laman Instagram Siti dihujani doa dan ucapan tahniah daripada rakan artis dan peminat yang turut teruja selepas penyanyi itu mengumumkan dirinya kini hamil menerusi sesi khas di kediamannya, malam tadi.

Sehingga jam 12.30 tengah hari tadi, beberapa keping gambar yang dimuat naik isteri kepada Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa menerusi laman sosial popular itu menerima lebih 330,000 tanda Likes selain 20,000 komen.


Antara artis yang berkongsi kegembiraan itu termasuk Erra Fazira, Liza Hanim, Neelofa, Nora Danish, Fasha Sandha dan Sarimah Ibrahim yang mendoakan urusan Siti dipermudahkan sepanjang kehamilannya.

Post a Comment

Previous Post Next Post