Sheeda menyanyi cari rezeki untuk keluarga


Sudah memasuki usia 50-an, penyanyi dangdut Sheeda mengakui tiada niat untuk bersara dari industri seni hiburan.

Bahkan, penyanyi yang popular dengan lagu Angkat Kaki ini lebih selesa bersikap enggan ambil peduli kecaman masyarakat.

“Buat masa ni, tak ada pula yang suruh saya bersara. Kalau ada pun, ia perkara biasa. Saya pun tak hairan dengan kecaman sebab itu pun boleh menaikkan nama saya. Saya tak peduli orang nak cakap apa sebab rezeki saya terus bertubi-tubi ALLAH bagi,” katanya kepada Media Hiburan.

Katanya, kerjaya sebagai penyanyi berpijak pada dunia realiti kerana ia berlandaskan kepada kehidupan semata-mata.

Tambah Sheeda, dia menyanyi kerana mencari rezeki untuk keluarga dan menegaskan zaman berseronoknya sudah berlalu.

Dalam pada itu, pelantun lagu Secangkir Madu Merah mengakui menyimpan niat untuk berhijab tetapi akan melakukannya apabila sudah benar-benar bersedia.

“Saya dalam fasa menuju ke arah itu cuma buat masa ini saya perlu selesaikan beberapa urusan dunia sebelum menuju akhirat,” katanya.

Bahkan, penyanyi yang popular dengan lagu Angkat Kaki ini dalam proses pembelajaran untuk berubah dan percaya kebaikan bukan saja diukur daripada luaran tetapi dalamannya.

“Jadi, saya kena ‘bersihkan’ diri dulu, kena baiki dari segi dalaman.

“Lagipun, saya tak mahu bila dah pakai tudung, tapi saya terus bersosial.

“Malah, saya tak malu akui saya sedang belajar balik mengaji al-Quran, hukum tajwid,” katanya.

Irama murahan?

Sementara itu, pemilik nama sebenar Sayyida Beevi M Shahul Hameed kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang sering melabelkan muzik dangdut sebagai irama murahan malah ada pelapis baru malu menyanyikan lagu berirama dangdut.


“Budak-budak sekarang bila kita ketengahkan lagu dangdut, semua malu nak ambil bahagian. Betul tak? Tapi bila pergi ke pusat karaoke, mesti nak pilih lagu dangdut.

Sheeda berpendapat golongan itu mungkin berfikir irama dangdut bukan bertaraf tinggi dan dikategorikan sebagai muzik murahan.

Justeru, katanya, masyarakat hari ini perlu dididik menghargai setiap karya sekali gus memartabatkan industri hiburan tempatan.

Pada masa sama, penyanyi lagu Sana Cinta Sini Cinta ini mengakui terkesan dengan penerimaan positif muzik dangdut dari Indonesia.

“Orang kita tak sedar dangdut adalah muzik Melayu dan Indonesia pun mengakuinya.

“Malulah bila kita sendiri tak nak perjuangkan irama muzik sendiri sehinggakan mereka turut sama menaikkan lagu dangdut.

“Mereka (penyanyi Indonesia) bangga dengan irama Malaysia tetapi kita pula sampai nak kena sekat dan bersikap memilih bulu. Sayanglah kalau kita biarkan begitu sahaja,” tegasnya lagi.

Sheeda juga memberitahu bakal memeriahkan Karnival Jelajah Mesra Medan Jodoh 2017 di Padang Awam Batu Anam, Segamat, Johor pada 14 Oktober ini.

Kata Sheeda, karnival sembilan hari yang bermula 6 Oktober ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk sukan rakyat bersama bangsa Johor selain booth jualan daripada artis jemputan,” katanya.

Terkini, Sheeda juga merancang melancarkan mini album, tidak lama lagi.

“Semuanya ada lima lagu, tapi kemungkinan besar saya akan melancarkan single terlebih dulu,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post