Shahir Zawawi Bukan kekasih lah


Penyanyi, Shahir Zawawi, mengakui mengenali individu bernama Mona Syamimi Mohd Samsudin namun menafikan menjalin hubungan cinta dengan wanita itu seperti yang tular di Internet.

Shahir, 29, ketika dihubungi berkata, dia tidak terkejut mengenai perkara itu kerana perkara sama pernah berlaku sebelum ini.

“Saya mengenali dia daripada kawan. Kiranya hanya kenalan biasa dan tidak lebih daripada itu. Saya dapat tahu perkara ini tular sejak semalam. Namun, saya tidak terkejut pun.

“Sebelum ini ada juga yang buat perkara sama, tetapi tidak kecoh. Kali ini, saya tak faham kenapa ia menjadi isu. Saya tidak suka perkara tak betul diperbesarkan. Nanti orang beranggapan negatif terhadap saya pula,” katanya.

Shahir yang juga juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF 8) mengakui baru sahaja mengenali wanita itu sejak menyertai program AF Megastar.

“Mungkin disebabkan status pada gambar dimuat naik itu membuatkan orang beranggapan kami bercinta. Bagi saya, ia perkara biasa kerana ramai peminat juga buat perkara sama.

“Terfikir juga adakah perkara ini berunsur sabotaj? Apa pun, ingin dijelaskan saya tidak ada sebarang hubungan istimewa dengan wanita berkenaan,” katanya.

Shahir berkata, teman baiknya penyanyi, Erra Fazira juga ada bertanyakan perkara itu.

“Erra tahu perkara ini dan dia bertanya kepada saya sejauh mana kebenarannya. Saya berterus terang dan menafikan perkara ini.

“Saya tidak ada kuasa untuk menghalang perkara sebegini daripada tersebar. Cuma, saya tidak mahu perkara ini mengganggu persediaan menjelang konsert akhir AF Megastar Ahad ini. Saya harap semua pihak jelas,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post