Charlie Puth Kesinambungan Attention


Selepas menempa kejayaan dengan single berjudul Attention awal tahun ini, Charlie Puth kini hadir dengan karya terbaru berjudul How Long.

Tidak lari jauh daripada nada yang disajikan dalam Attention, namun ada beberapa kelainan disuntik dalam How Long sekali gus menjadikan ia karya segar.

Genrenya juga sedikit berbeza apabila Charlie mempertaruhkan genre pop R&B menerusi lagu ini yang juga menjadi single kedua untuk albumnya, Voicenotes.

How Long mengisahkan mengenai wanita yang mendapat tahu kekasihnya curang.

Charlie dalam satu temu bual bersama stesen radio antarabangsa berkongsi mengenai jalan cerita lagu ini yang menjadi kesinambungan daripada Attention.

“Ia berkaitan dan punya kesinambungan dengan Attention. Senarionya kalau dalam Attention, ia berkaitan lelaki yang menagih perhatian pasangannya dan dicurangi.

“Dalam lagu ini pula, lelaki itu pula berlaku curang. Ia seperti balas dendam selepas kekasihnya curang dalam lagu Attention dan saya sendiri tidak sabar menantikan kehadiran album Voicenotes tahun depan,” katanya.

Dalam liriknya juga jelas dipaparkan beberapa ayat yang menerangkan jalan cerita yang ingin disampaikan dalam lagu ini.

How Long dilancarkan sejak 5 Oktober lalu dan sehingga kini audio rasmi yang dimuat naik ke YouTube sudah didengar lebih 5.5 juta kali.

Rata-rata, ramai peminat dan pendengar How Long memberikan reaksi positif kepada lagu itu menerusi ruangan komen di akaun YouTube Charlie.



INFO:

LAGU: How Long

PENYANYI: Charlie Puth

LAGU/LIRIK: Charlie Puth, Jacob Kasher & Justin Franks

PENERBIT: Charlie Puth

TERBITAN/EDARAN: Atlantic

Post a Comment

Previous Post Next Post