Setiap hari Rozita Che Wan dikelilingi penipu


Berkat rezeki, jika tiada aral melintang Che Ta akan menunaikan umrah buat kali ke-11 dan haji pertama pada tahun depan.

Gaya hidup mewah pelakon jelita, Rozita Che Wan atau Che Ta sering menjadi perhatian umum. Manakan tidak, saban tahun dia sekeluarga akan bercuti ke luar negara selain kerap menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah.

Di sebalik semua kemewahan yang dimiliki, tidak siapa menyangka bahawa pelakon tinggi lampai itu sering berhadapan cabaran seperti ditipu dalam perniagaan sehingga kerugian puluhan ribu ringgit.

Pernah berdepan kerugian wang berjumlah RM50,000 selepas seorang lelaki berpangkat Datuk gagal mengeluarkan produk minyak wangi rangkaian Precious yang dijanjikannya pada tahun lepas, Che Ta bagaimanapun sentiasa berfikiran positif dan tidak berdendam.

Cara sebegitu menjadi antara formula hati yang diamalkan pelakon drama Kak Marr itu terhadap pelaku yang pernah menganiaya dirinya. Bagi Che Ta, jika reda dengan sesuatu kehilangan, Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik.

Ikuti kisah Che Ta yang bercerita tentang cabarannya dalam perniagaan ketika ditemui pada majlis pelancaran Pakej Umrah bersama Che Ta dan Zain Saidin dibawah agensi pelancongan, Imtiyaz Travel and Tours baru-baru ini.

KOSMO!: Difahamkan, Che Ta pernah mengalami kerugian besar apabila ditipu seorang individu berpangkat Datuk dalam urusan pengeluaran minyak wangi. Boleh ceritakan lebih lanjut tentang perkara tersebut?

CHE TA: Kejadian ini berlaku sekitar tahun lepas ketika saya berurusan dengan individu berkenaan untuk mengeluarkan produk minyak wangi jenama saya. Namun, selepas memberi wang sebanyak RM50,000, dia tidak menunaikan janji seperti yang dipersetujui.

Individu berkenaan adalah orang sama yang melesapkan wang berjumlah RM100,000 milik pelakon Wawa dan Aeril Zafrel baru-baru ini.

Sudahlah buat jahat, wang tersebut juga digunakannya untuk membeli rumah dan kereta baharu selain menambah isteri.

Adakah anda ada melakukan sebarang tindakan ke atas individu itu memandangkan pasangan pelakon tersebut turut menjadi mangsa?

Sejujurnya, saya tidak melakukan apa-apa tindakan kerana perjanjian itu berlaku tanpa sebarang dokumen hitam putih. Silap saya juga kerana terlalu cuai kerana tidak memikirkan risiko ditipu. Biarpun tidak ada dokumen perjanjian tetapi segala resit pembayaran masih disimpan sebagai bukti.

Apa pengajaran yang anda perolehi daripada kes sebegitu?

Boleh dikatakan, setiap hari saya dikelilingi orang yang suka menipu. Orang cacat dan ada sebatang jari pun boleh menipu, apatah lagi manusia yang normal.

Sudah banyak kali saya berdepan dengan pengalaman ditipu membabitkan wang tetapi inilah jumlah yang paling banyak. Bagaimanapun, saya reda dan halalkan soal kehilangan wang itu. Mungkin bukan rezeki saya dan keluarga.

Namun harus diingat, doa orang yang teraniaya sentiasa termakbul. Apabila reda, Tuhan tambah nikmat hidup saya. Sekarang penipu itu yang hidup tidak tenang kerana sudah buat salah.

Baiklah. Boleh perjelaskan tentang penglibatan anda dalam pakej umrah yang baru dilancarkan?

Insya-Allah, saya dan suami akan mengerjakan umrah sekali lagi pada awal tahun depan bermula 22 Januari hingga 2 Februari sempena pelantikan saya sebagai duta agensi pelancongan, Imtiyaz Travel and Tours.

Menariknya, kali ini saya disertai dengan jemaah lain yang berminat untuk mengambil pakej sama kerana ia ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM6,900 untuk bilik penginapan seramai lima hingga tujuh orang, RM7,890 (bilik untuk tiga orang) dan RM8,890 (bilik untuk dua orang) bagi kelas ekonomi.

Bagi kelas bisnes pula, harga ditawarkan adalah RM8,800 (bilik untuk lima hingga tujuh orang), RM9,500 (bilik tiga orang) dan RM10,500 (bilik dua orang).

Sebarang maklumat boleh hubungi talian 09-662 1329 (Terengganu) atau 03-5545 3066 (Selangor).

Bilakah anda akan ke Tanah Suci sebagai jemaah haji pula?

Ia bukan tentang sekerap mana kita pergi tetapi sejauh mana ibadah yang dilakukan membawa perubahan kepada diri.

Alhamdulillah, menerusi pakej ini saya bakal mengerjakan ibadah umrah buat kali ke-11. Tahun depan juga, saya akan mengerjakan ibadah haji buat kali pertama. Doa-doakan.

Post a Comment

Previous Post Next Post