Sara Amelia tepati ramalan juarai Clever Girl


Tidak menyangka akan bergelar juara, selepas ini Sara bercadang untuk menerokai bidang lakonan dan pengacaraan selain meneruskan pengajian ke peringkat ijazah.

Menepati ramalan, peserta yang mewakili negeri Perak, Sara atau nama sebenarnya, Sara Amelia Muhammad Bernard merangkul gelaran juara program realiti Clever Girl Malaysia musim kedua, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000.

Sara, 25, mengetepikan saingan terdekat Hani (Negeri Sembilan) yang sekadar berpuas hati sebagai naib juara manakala dua finalis lain, Hani (Perlis) dan Shazana (Selangor) ditunjukkan jalan keluar lebih awal pada pentas akhir Jumaat lalu.

Sara yang merupakan lepasan program Asasi Psikologi, Ekonomi dan Matematik dari Kolej Taylor’s ternyata terkejut apabila diumumkan oleh pengacara Alif Satar sebagai juara program yang memasuki musim kedua tersebut.

“Perasaan apabila diumumkan sebagai pemenang memang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Pada masa yang sama, saya bersyukur sangat kerana selepas bekerja keras dalam program ini, ia berbaloi,” ujar Sara usai tamatnya program yang berlangsung selama 10 minggu tersebut.

Ditanya soal perancangan selepas memenangi program tersebut, Sara terlebih dahulu akan menggunakan wang kemenangan untuk menyambung pengajian dan membelanjakannya ke arah yang positif.

“Insya-Allah, saya akan menyambung pengajian selain bergiat aktif dalam program kewanitaan, sukan dan bidang seni.

“Oleh sebab saya amat meminati seni bela diri Muay Thai, saya bercadang untuk bergiat lebih aktif dalam bidang itu. Saya juga ingin membantu golongan yang kurang bernasib baik,” kata Sara.

Mengajak si jelita itu mengulas tentang pandangan negatif masyarakat yang mempersoalkan ketelusan program tersebut ekoran terpalit beberapa kontroversi sebelum ini, Sara jelas tidak terkesan.

“Kepada yang memberi pandangan negatif, cubalah berada di pentas itu, adakah mereka dapat menjawab soalan-soalan diberikan?

“Tekanan berada dalam Clever Girl Malaysia sangat tinggi dan saya sendiri susah mahu memaafkan diri jika tidak dapat menjawab soalan yang mudah. Biarlah apa orang ingin kata, saya berharap kemenangan ini membuktikan sesuatu kepada mereka,” getusnya.

Buat si naib juara, Fadila, dia tidak berasa ralat meskipun pada satu tahap mendahului Sara dari segi kutipan markah pada final kemuncak tersebut.

“Bagi saya, kesemua 13 peserta Clever Girl Malaysia musim ini telah membuktikan bahawa mereka layak untuk bertanding dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

“Saya berpuas hati dengan prestasi sendiri dalam pertandingan ini. Kalah memang adat pertandingan. Banyak perkara yang telah saya pelajari, itu yang lebih penting,” kata Fadila yang merupakan seorang graduan bidang pendidikan dari salah universiti tempatan.

Integriti

Terdahulu, Clever Girl Malaysia 2 mencetuskan kontroversi pada minggu separuh akhir apabila Shazana memberi jawapan soalan sebelum sempat habis dibacakan. Perkara tersebut menjadi tular dalam kalangan netizen yang marah dan mempersoalkan integriti program uji minda itu.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Zurina Othman menafikan dakwaan terdapat pilih kasih dan soalan bocor sepanjang program berlangsung.

Kata Zurina, pihaknya sentiasa mengutamakan ketelusan dan mempunyai ahli jawatankuasa dalam penyediaan soalan.

“Kami tidak perlu menjelaskan dakwaan tidak berasas itu kerana sentiasa mengutamakan integriti dalam program berkenaan.

“Tiada pilih kasih atau soalan bocor seperti yang didakwa. Seperti malam ini, soalan dipilih oleh peserta dan kami sendiri tidak tahu soalan apakah yang dipilih.

“Apa yang berlaku sebelum ini telah menjadi pengajaran kepada semua pihak dan pihak kami akan mengambil pandangan daripada khalayak bagi memperbaiki mutu program pada musim akan datang,” ujar Zurina.

Post a Comment

Previous Post Next Post