Liza Hanim ambil kelas vokal, jaga kesihatan


Single - Liza sepatutnya muncul dengan single terbaharu ciptaan Hafiz Hamidun, namun terpaksa menunda agenda pelancaran lagunya bagi memberi laluan kepada GV4 terlebih dahulu.

Sejak program Gegar Vaganza (GV) diperkenalkan pada 2014, nama penyanyi bersuara lunak, Liza Hanim sentiasa terbayang pada fikiran peminat yang mengikuti program tersebut.

Namun, setiap kali musim baharu hendak bermula, pasti ada segelintir penonton disinggahi secuit kehampaan memandangkan bayangan mereka tentang kemunculan wajah pemilik nama Haliza Hanim Abd. Halim itu masih tidak menjadi realiti.

Penantian tersebut bagaimanapun terjawab pada musim terbaharu GV apabila Liza akhirnya memberikan persetujuan, sekali gus secara rasminya tergolong dalam senarai 12 peserta GV4 yang akan bermula pada 29 Oktober nanti.

Ditemui pada sidang media pengenalan peserta GV4 di The Gardens Mall baru-baru ini, wanita berusia 37 tahun itu berkata, bukan dia sengaja menolak tawaran yang datang hampir untuk tiga musim terdahulu, namun waktu belum sesuai untuk dirinya kembali memanaskan karier.

“Tipulah jika saya langsung tidak berminat dengan GV4 yang ternyata mempunyai pengaruh yang besar, cuma apabila tawaran tiba, ada masanya ketika baru selesai tempoh berpantang kerana bersalin dan kekangan kerja menguruskan syarikat LH Media Sdn. Bhd.

“Namun kali ini, jadual waktu saya kosong. Anak bongsu juga sudah berusia dua tahun dan suami pun memberikan ‘lampu hijau’. Jadi, saya terus terima,” katanya sambil tertawa besar.

Saat ditanya adakah suaminya, Mohamed Shahrin Samsudin atau lebih popular dengan panggilan Shah Indigo keberatan melepaskan dirinya menyertai GV sebelum ini, Liza pantas menafikan sambil menegaskan, penolakan dirinya sebelum ini dibuat atas keputusan sendiri.

Kata anak didik Allahyarham Adnan Abu Hassan itu lagi, Shah hanya menanti apa sahaja yang terbutir daripada mulutnya. Selama ini, Shah juga tidak pernah memaksa Liza melakukan sesuatu tanpa kerelaan.

“Keizinan daripada Shah sebenarnya penentu keputusan saya untuk menjadi sebahagian daripada peserta GV4 kerana sebelum ini saya memang tolak tawaran dengan baik.

“Cuma apabila dapat tawaran tahun ini, saya mula meluahkan keinginan untuk masuk dan Shah serta-merta memberi keizinan, malah memberitahu saya patut sahut cabaran ini untuk kepuasan diri sendiri,” katanya lagi.

Persediaan

Bercerita tentang cabaran, memiliki lebih 20 tahun pengalaman dalam industri muzik tidak bermakna Liza mengambil mudah atau memandang sebelah mata terhadap setiap percaturan menerusi GV4. Dia cukup menyedari bahawa peserta lain juga memiliki perkara sama.

Mengakui sudah mulai berasa gementar memikirkan pentas GV yang bakal ‘berasap’ dua minggu akan datang, anak kelahiran Selangor itu mengambil inisiatif sendiri kembali berguru bersama guru vokal popular, Cikgu Syafi.

Katanya, sudah lama dia tidak membuat persembahan di pentas besar, jadi tiba masanya untuk memantapkan kembali mutu vokal.

“Selain sudah lama tidak membuat persembahan dalam pertandingan, saya perlu mengakui bahawa faktor usia juga mempengaruhi nada vokal apabila menyanyi.

“Memang suara saya tidak akan sama seperti saya menyanyi ketika awal dahulu tetapi saya selesa dengan suara yang lebih matang seperti sekarang,” katanya lagi.

Pemenang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-17 itu juga mengamalkan senaman dan diet sihat kerana percaya, tubuh badan cergas akan membuatkan badannya lebih bertenaga semasa beraksi.

Menurut Liza, aktiviti tersebut telah diamalkan sejak tiga tahun lalu. Selain memikirkan soal kesihatan, motivasinya memuncak untuk mengembalikan berat badan idea hadir tercetus apabila ditegur suami sendiri bahawa dia seperti sukar bergerak akibat berat badannya yang berlebihan.

Bertolak dari situ, pelantun lagu Gelisah Mimpi itu mencabar diri menukar rejim harian dengan melakukan aktiviti larian pada setiap hari selain menyasarkan untuk membakar sekurang-kurangnya 500 kalori sehari.

Ditambah dengan amalan diet pemakanan seimbang, Liza memastikan pengambilan nasi hanya sekali seminggu, manakala selebihnya digantikan dengan mihun mahupun kentang yang dibakar atau direbus.

“Saya menggunakan aplikasi Myfitnesspal bagi menyukat kandungan kalori yang diperlukan badan dan dalam setiap pengambilan makanan,“ ujarnya terperinci.

Hasil usaha kerasnya, ibu kepada Marsya Qistina, 14, Marissa Qaireen, 8, Mohamed Salahuddin, 6, dan Mohamed Ibrahim,2, itu berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 20 kilogram (kg) daripada 78kg menjadi 58kg dalam tempoh lapan bulan.

Media sosial

Ketika rancak berborak tentang keterujaan untuk bertanding dalam GV4, Liza ditebak persoalan, adakah sudah bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan isu tular memandangkan rancangan berkenaan mendapat perhatian meluas masyarakat.

Liza yang selama ini dikenali sebagai artis bersih dan bebas kontroversi itu mengangguk-angguk perlahan. Dia bersetuju bahawa penyertaan dalam GV4 merupakan satu bentuk pendedahan tentang kehidupannya kepada masyarakat.

Pegangan Liza berhubung keterbukaan tersebut juga mudah. Katanya, jika tidak mahu hanyut dalam sesuatu isu maka jangan ambil peduli perkara yang tidak penting.

“Bagi saya, senang sahaja. Kalau ada isu atau komen-komen yang menyakitkan hati, saya memilih untuk tidak baca kerana enggan fokus asal terganggu.

“Isu-isu remeh yang tular biasanya akan berhenti dengan sendiri jika tiada yang melayan. Jadi saya tidak mahu terlalu berfikir atau berhati-hati, sebaliknya menjalani kehidupan seperti biasa,” tegasnya menutup perbualan.

Tahun ini, GV4 bakal bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil bermula 29 Oktober, setiap Ahad pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse, GV4 menampilkan 11 lagi peserta iaitu Aishah, Ferhad, Lan Kristal, Firman Siagian, Raja Azura, Haida Hafiz, Elyana, Tia Jinbara, Hazami, Syura dan Aqasha.

Post a Comment

Previous Post Next Post