Penubuhan kumpulan nasyid wanita yang dikenali sebagai Naira, sangat unik.
Masakan tidak, sembilan ahlinya merupakan individu yang menerima manfaat daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Naira dianggotai oleh Sapiah Sapari, 51 selaku ketua kumpulan; Aida Kamrin, 38; Salina Kamrin, 42; Hasimah Kamrin, 54; Samsiah Muhammad, 47; Siti Sabariah Sapari, 54; Zulaiha Sarif, 49; Intan Md Ali, 40 dan Nasipah Kasman, 54.
Sapiah berkata, Naira wujud bertujuan membantu golongan memerlukan sambil berdakwah.
Bercerita lanjut, kata Sapiah, kesemua ahli kumpulan ini minat menyanyi namun ada kekangan yang membataskan mereka untuk terus aktif.
Bagaimanapun, semangat juang yang tinggi serta seni muzik yang cukup luas menggalakkan mereka menggunakan platform ini untuk membantu golongan memerlukan.
Sehubungan itu, katanya, bagi merealisasikannya, Naira turut mewujudkan Tabung Ehsan Naira.
“Untuk setiap bayaran persembahan atau hasil perniagaan, 10 peratus daripadanya akan disalurkan ke dalam tabung ini dan penubuhan Naira lengkap dengan misi dan tujuannya,” katanya kepada Media Hiburan.
Lebih menarik, katanya, walaupun setiap ahlinya berusia hampir separuh abad, Naira tetap berusaha memeriahkan kembali industri hiburan negara.
“Kita sedar, ramai kumpulan nasyid wanita tak mampu bertahan lama. Tapi, kita juga bukan mahu mengejar glamor semata-mata apatah lagi dengan usia yang banyak," katanya sambil ketawa tapi nekad dengan konsep membawa konsep ketuhanan,” katanya.
Tambahnya, Naira turut bercita-cita menubuhkan sebuah syarikat rakaman, Naira Entertainment, suatu hari nanti selain berharap kehadiran mereka berupaya menarik minat golongan muda untuk menceburi industri nasyid.
“Lagipun, kita pun mahu bergerak ke arah international. Insya-ALLAH,” katanya yang berada di bawah pengurusan Pelirik Bebas & SC Studio.
Buah hati pertama
Dalam pada itu, Naira baru sahaja melancarkan single pertama, Hati Naira sejak September lalu.
Jelas Sapiah, Hati Naira merupakan ciptaan sepenuhnya Pelirik Bebas dan diedarkan oleh Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd.
Katanya, lagu ini menceritakan hasrat dan perit jerit mereka untuk berjaya.
Walaupun usia mereka dalam industri belum pun cukup setahun, namun katanya lagu ini mengisahkan perjalanan setiap ahli dalam menempuh kehidupan dan meninggalkan satu kenangan manis sekali gus membangkitkan semangat kita untuk terus berjaya.
Lebih membanggakan, katanya, lagu tersebut turut mendapat permintaan hingga ke peringkat antarabangsa.
“Alhamdulillah, mungkin ini namanya sebagai rezeki terpijak.
“Lagu kita bukan saja diterima tetapi juga menjadi lagu paling hits di beberapa radio di Indonesia sehingga hari ini.
“Insya-ALLAH, kita juga akan menjelajah dan memenuhi undangan radio yang berminat untuk menemu bual,” katanya.
Pada masa sama, katanya, Naira juga bercadang untuk meluaskan pasaran lagu itu ke negara lain seperti Singapura dan Brunei.
“Kita akur dengan permintaan daripada pasaran dalam negara.
“Namun, itu bukan bermaksud kita takut untuk bersaing dengan rakan seperjuangan yang lain.
“Apa yang penting, kita akan terus menjadi diri sendiri,” katanya.