Nadia Brian mencari cinta sejati


“Sehingga ke saat ini belum ada lelaki gentleman yang datang menyatakan perasaan mereka. Ramai yang berani menghantar mesej tetapi menyorokkan diri pula. Kalau ada yang berani tentu saya akan mempertimbangkan mereka,” kata Nadia Brian tertawa.

Benar, itu realiti yang berlaku kepada wanita seksi yang satu ini. Soal lelaki nampaknya masih belum memberikan kelebihan kepada dirinya. Tentu sahaja sebagai wanita ada kala hatinya dihimpit dengan perasaan sunyi. Jika kebanyakan rakan-rakan sudah mempunyai teman istimewa, dia pula masih bersendirian.

Sejak memulakan karier dua tahun yang lalu, belum ada yang lelaki yang berani berdampingan dengannya secara serius. Jika ada yang mahu sekalipun, mereka masih malu-malu dan hanya menghantar pesanan peribadi tanpa diketahui empunya diri.

“Orang selalu anggap bila sudah popular akan dihimpit oleh ramai lelaki. Kenyataan itu nampaknya tidak ‘kena’ dan itu juga membuatkan saya masih solo sehingga ke hari ini. Mungkin ada pelakon lain yang tidak henti-henti dihimpit lelaki, biarkan sahaja mereka.

“Saya pula lebih selesa bersendirian. Jangan pula ingat saya ‘kemaruk’ nak berteman. Buat masa ini, banyak masa dihabiskan dengar bekerja. Tentang hal yang satu itu, biarlah dahulu, nanti bila tiba masanya tetap akan datang,” katanya lagi.

Melewati hari-hari sebagai sosok yang dikenali, wanita yang berusia 26 tahun ini ada kala terhibur dengan gelagat segelintir lelaki yang cuba menghimpit dirinya. Tentu sahaja kebanyakan daripada mereka menggunakan laman sosial Instagram (IG) dengan menghantar pesanan melalui aplikasi tersebut.

Apabila dibuka, dia sendiri pun tidak mengetahui siapakah sebenarnya mereka memandangkan masing-masing boleh mendaftar akaun tanpa perlu mendedahkan identiti sebenar.

“Kalau mesej peribadi, memang sering saya terima. Tapi biasanya saya hanya akan layan mereka yang benar-benar dalam kalangan peminat yang tidak bertanyakan soalan yang sensitif. Yang cuba untuk mengurat pula, saya hanya baca.

“Tak kuasa pula nak melayan mereka yang entah siapa-siapa. Akaun yang digunakan pun belum tentu sahih!,” kata pelakon yang pernah popular dengan teater Bikers Kental ini lagi.

Selain itu, kesibukan juga mungkin menjadi sebab mengapa dia masih bersendirian ke saat ini. Kebanyakan masa di set penggambaran dan jika ada masa terluang sekali pun biasanya dihabiskan bersama keluarga.

Jaga nama

Melihatkan satu persatu rakan-rakan artis mengecap populariti mendadak tidak pernah membuatkan dia iri hati. Baginya walaupun terpaksa menapak untuk memperkenalkan diri kepada khalayak, perkara itu tidak pernah membuatkan dia lelah. Ditambah dengan kehadiran ramai muka-muka baharu yang lebih menyerlah, Nadia tidak menjadikan perkara tersebut sebagai satu kekangan untuknya terus berjaya pada masa hadapan.

“Percayalah rezeki itu tetap akan ada selagi kita berusaha. Sebab itu saya tak pernah takut dengan apa-apa halangan. Asalkan ada usaha, kesungguhan dan sifat bersyukur, insya-Allah semuanya akan dipermudahkan.

“Satu lagi saya yakin dengan kerja keras. Sebagai pelakon kita perlu mempamerkan mutu lakonan yang cemerlang. Jika mutu lakonan semakin baik dari sehari ke sehari, tiada apa yang perlu dirisaukan. Ramai lagi orang lama yang mampu bertahan sehingga ke hari ini,” katanya.

Mengambil semangat dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabila Huda ketika ini, Nadia menjadikan pelakon berkenaan sebagai contoh terbaik. Dia bukan sahaja sudah berpengalaman luas tetapi dalam masa yang sama tidak pernah tenggelam dalam lambakan muka-muka baharu sejak dahulu.

Tentu sahaja perkara berkenaan berlaku kerana lakonan yang diberikan tidak pernah menghampakan. Berilah apa sahaja watak, pasti akan dilunaskan dengan baik.

Bercerita mengenai perkembangan terbaru pula, Nadia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama 100 episod, Dendam Aurora yang sedang ditayangkan di kaca TV. Selain itu dia juga bakal muncul dengan filem Blok 404 dan MAK yang bakal ditayangkan sedikit masa lagi.

Tidak memilih

Pernah dua kali bercinta sebelum ini, bagaimanapun hubungan yang dijalinkan tidak bertahan lama. Tidak pernah patah semangat mahupun menyimpan istilah trauma dalam hidupnya, anak kedua daripada empat beradik ini menyasarkan tempoh dua tahun lagi untuk memikirkan secara serius soal tersebut.

“Bila cinta tak menjadi, saya tidak patah semangat. Perkara tersebut pun berlaku sebelum ini. Saya ada berjumpa dengan lelaki tersebut lagi, tapi perasaan cinta itu sudah tiada. Rasanya kami lebih selesa berkawan sahaja tanpa memikirkan perkara lain.

“Walaupun cinta lalu tak menjadi, ada perkara yang membanggakan sebenarnya. Antara kami tiada permusuhan, jauh sekali nak bermasam muka. Tak seperti segelintir orang lain yang terus menjadi musuh,” katanya yang enggan mendedahkan siapakah gerangan lelaki tersebut.

Untungnya, keluarga tidak pernah mendesak dirinya untuk segera bernikah. Tambahnya, walaupun kakaknya bernikah dalam usia semuda 22 tahun, mereka pula tidak pernah memaksa dirinya untuk segera menamatkan status bujang segera.

Mereka faham, dia mempunyai misi dalam bidang seni dan pastinya soal perkahwinan diserahkan bulat-bulat kepadanya untuk menentukan bilakah masa dan ketikanya.

“Ibu tidak pernah bertanyakan hal itu sebenarnya. Saya faham ada keluarga yang memang ‘panas’ bila ada anak gadis mereka masih belum berjodohan. Terpulang kepada tradisi masing-masing dan kita perlu menghormati perkara berkenaan.

“Untungnya, ibu tidak kisah bila saya mahu berkahwin tetapi dalam masa yang sama mengharapkan saya mampu berjaya dalam bidang lakonan. Jadi saya bebas meneroka bidang tersebut tanpa perlu memikirkan hal lain,” katanya ringkas.

Ditanya mengenai kriteria lelaki idaman pula, Nadia tidak terlalu memperincikan lelaki bagaimana yang mampu menambat hatinya. Jelasnya, cukuplah sekadar menyokong kerja seninya, kelakar dan berani menerima segala kekurangan dirinya.

Sebagai wanita, dia pasti memerlukan bantuan dan sokongan daripada orang di sekeliling. Jika lelaki tersebut bersedia untuk menjadi penyokong nombor satu, tentu sahaja dia dengan rela hati akan menerima mereka.

“Malu sebenarnya mahu bercerita tentang hal begini. Saya sendiri tidak sempurna dan masih banyak kekurangan. Tak wajar rasanya untuk saya meletakkan perincian yang berlebihan untuk mencari kriteria lelaki idaman.

“Jika ada yang menyenangkan, itu sudah cukup baik. Apa yang penting dia mestilah matang dan bersedia menerima kekurangan saya. Yang kurang akan ditampung bersama, ini sahaja yang saya harapkan,” katanya malu-malu.

Pun begitu, dia awal-awal lagi mahu mengelak daripada mencari lelaki yang ‘menjual’ kekayaan untuk memikat hatinya. Tegasnya perkara berkenaan tidak pernah ada di fikiran dan pastinya tidak memerlukan kemewahan untuk menarik perhatiannya.

Sebagai wanita yang bekerjaya, dia masih mampu mencari wang namun dalam masa yang sama dia mengharapkan cinta yang akan membara sehingga ke akhir hayat.

“Saya mencari true love. Sebab itu saya mencari lelaki yang gentleman yang mampu memberikan cintanya kepada saya,” katanya dalam nada serius.

Mengambil inspirasi daripada kisah ibu yang membesarkan mereka empat beradik selepas berpisah dengan ayah, Nadia mengambil inspirasi daripada pengalaman tersebut untuk melayarkan bahtera kehidupan ketika ini. Keperitan ibunya membesarkan mereka masih berbekas di hati dan menjadi azimat kepadanya melalui hari-hari mendatang.

“Jika ibu mampu menyara kami, mengapa pula saya tidak mampu untuk menyara hidup sendiri. Duit boleh dicari tapi cinta sukar untuk diganti. Itu juga yang menjadi sebab mengapa saya memilih cinta daripada wang ringgit,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Post a Comment

Previous Post Next Post