Mila Jirin memberitahu foto berkenaan hanya untuk simpanan peribadi.
Penyanyi Mila Jirin meminta maaf kepada semua pihak yang kurang senang terhadap foto aksinya dikatakan kurang sopan tersebar di laman sosial.
Mila, 30, berkata, foto yang diambil dalam satu sesi fotografi sebuah akhbar itu sekadar suka-suka dan bukan berniat untuk ditayang kepada umum.
"Gambar itu diambil suka-suka dengan kawan-kawan pereka fesyen Seth & Luna sewaktu sesi fotografi saya dengan sebuah akhbar minggu lalu.
"Saya pun tidak muat naik gambar tu di Instagram sebabnya ia hanya untuk simpanan Seth & Luna. Saya tidak tahu mereka muat naik di laman sosial mereka dan menjadi tular," ujarnya kepada mStar Online.
Mila bersama suami dan anaknya.
Mila atau nama sebenarnya Noorsyarmilla Jirin diminta mengulas tentang foto dia baring di sebuah tab mandi dengan seluar berwarna kulit.
Foto tersebut menjadi tular selepas netizen memberi komen negatif dan menganggap aksi Mila tidak sesuai dengan imejnya sebagai seorang wanita muslimah.
"Saya sudah pun meminta pereka fesyen Seth & Luna untuk padamkan gambar tersebut di Instagram mereka kerana ia tidak sesuai untuk tontonan khalayak. Malangnya ia sudah tular ke media sosial lain.
"Saya mohon maaf kepada pihak yang tidak selesa dan marah. Saya akui gambar tersebut tidak sepatutnya diambil," ujarnya.
Tambah Mila, dia akan lebih berhati-hati untuk bergambar biarpun sekadar untuk simpanan peribadi.