Indah Ruhaila Dituduh Tiru Dayang Nurfaizah


Indah Ruhaila menganggap persamaan imejnya dalam pertandingan AF Megastar dengan Dayang Nurfaizah sekadar kebetulan.

Bekas peserta AF Megastar iaitu Indah Ruhaila menyangkal dakwaan dia cuba meniru imej penyanyi Dayang Nurfaizah ketika bertanding dalam program itu.

Sebaliknya kata Indah, dia tidak pernah cuba menjadi seperti Dayang selain menyifatkan persamaan yang dikatakan netizen sekadar kebetulan.

Dedah penyanyi itu lagi, dia juga tidak pernah mengambil tahu tentang pakaian akan digayakan setiap kali konsert berlangsung kerana tugas itu diserahkan sepenuhnya kepada jurugaya dan pereka fesyen.

"Fokus saya hanya kepada persediaan nyanyian dan bab pakaian memang saya beri kepercayaan kepada jurugaya dan pereka fesyen saya iaitu Latifi.


Indah turut memuat naik gambar inspirasi pakaiannya di Instagram.

"Pada saya ia sekadar kebetulan sahaja dan rujukan diberikan kepada saya pun bukannya dari artis tempatan tetapi antarabangsa," katanya.

Pada malam Ahad, Indah, 32, gagal mara ke peringkat separuh akhir AF Megastar selepas tersingkir pada pertandingan yang diadakan di Royal Theater Shah Alam.

Dia yang menyampaikan rangkaian medley lagu Allahyarham Puan Sri Saloma iaitu Mari Jalan Bersama, Gelora dan Bila Larut Malam mendapat markah terendah iaitu sebanyak 22.6 peratus.

Dalam pada itu, Indah juga mengakui mula berasa kurang selesa dengan perbandingan dibuat kerana bimbang akan ada pihak menyangka apa diperkatakan itu benar.


Dayang Nurfaizah.

"Jujurnya ia satu pujian apabila ada orang menyamakan saya dengan Dayang tetapi saya mula rasa tidak selesa kerana nanti orang fikir memang saya hendak tiru Dayang.

"Kami berdua adalah dua individu berbeza dan seperti saya katakan ia sekadar kebetulan," ujarnya.

Bercakap mengenai penyingkirannya, Indah berkata, dia sudah menjangkakan akan terkeluar dan tidak berasa sedih dengan keputusan itu kerana ia adalah adat pertandingan.

Sebaliknya kata Indah, dia berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan rakan baiknya iaitu Idayu memandangkan hubungan mereka rapat sejak pertandingan bermula.

"Ada sedih. Ada gembira. Pada saya ia ada pertandingan dan bukan rezeki saya untuk mara ke peringkat seterusnya.


Persembahan Indah mendapat markah paling terendah.

"Paling penting saya sudah melakukan sehabis baik dan menunjukkan apa yang boleh saya lakukan sebagai penyanyi kepada peminat.

"Yang sedihnya sekarang adalah saya terpaksa berpisah dengan Idayu kerana hubungan kami memang rapat," jelasnya.

Tanpa berselindung, Indah memberitahu dia berharap dan yakin Idayu akan menjuarai AF Megastar kerana dia layak mendapat gelaran itu.

Dalam perkembangan lain, Indah berkata dia sedang menyiapkan single terbaharunya yang digubah oleh Hael Hussaini dan akan dilancarkan tidak lama lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post