Danial Lawak Solo, Ini Balasan Untuk Kau!


Danial mendedahkan ibunya pernah menjadi mangsa penipuan suspek yang ditahan ekoran penipuan rumah murah baru-baru ini.

Bekas juara program Lawak Solo iaitu Danial mendedahkan ibunya pernah menjadi mangsa penipuan salah seorang suspek yang ditahan reman berhubung skim penipuan pembinaan rumah.

Danial berkata, ketika kejadian sekitar 2014, suspek menggunakan modus operandi berbeza dengan mendakwa dia menjalankan syarikat pelaburan forex dengan keuntungan singkat bagi memperdaya orang ramai.

Akibat terperdaya dengan suspek, Danial memberitahu wang pencen ibunya, Rodziah Abdullah sebanyak RM34,500 ditipu suspek sebelum menghilangkan diri.

"Apabila mendapat tahu dia ditahan reman kerana penipuan rumah kos rendah saya terkejut dia adalah orang sama menipu ibu saya dahulu.

"Rupa-rupanya dia masih tidak berubah dan ini adalah balasan dia dapat atas perbuatannya!

"Saya harap dia dikenakan tindakan sewajarnya dan dia insaf kerana sudah terlalu banyak dia menipu orang," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.


Danial bersama ibunya Rodziah Abdullah yang baharu sahaja pulang daripada mengerjakan ibadah haji baru-baru ini.

Menceritakan kejadian itu, Danial berkata, ibunya bersetuju membuat pelaburan itu bukan kerana suspek sebaliknya percaya dengan rakan baiknya yang menjadi orang tengah ketika itu.

Katanya, rakannya itu memberi jaminan pelaburan dibuat itu selamat namun tidak menyangka dia juga mangsa penipuan suspek.

"Bukan ibu saya sahaja mangsa tetapi ada lebih 20 orang dengan nilai kerugian jutaan ringgit kesemuanya!

"Ketika itu kami tidak buat laporan polis kerana masih ingin memberinya peluang membayar kembali tetapi selepas empat tahun satu sen pun tidak dibayar," katanya.

Dalam pada itu, Danial berkata, dia pernah merayu kepada suspek untuk memulangkan wang diambil daripadanya ibunya namun tidak berhasil.

Sebaliknya suspek bijak mencipta seribu satu alasan dan janji kosong sehinggalah dia menghilangkan diri sebelum namanya kembali menjadi sebutan kerana penipuan penjualan rumah baru-baru ini.


Antara perbualan Danial dan suspek bagi mendapatkan kembali wang ibunya.

"Rupa-rupanya dia pun ditipu oleh suspek dan sejak itu saya sudah cuba pelbagai usaha untuk dapatkan kembali wang berkenaan namun gagal sampai ibu saya sakit.

"Lama saya tengok dia hilangkan diri sebelum tiba-tiba buka syarikat baru dan menipu pula orang lain menggunakan modus operandi lain," ujarnya.

Sementara itu, Danial berkata, dia mendedahkan perkara itu kerana tidak mahu melihat lebih banyak mangsa terperdaya dengan apa juga skim seperti pelaburan atau pun perumahan mampu milik.

"Saya dedahkan perkara ini bukan untuk keruhkan keadaan tetapi berharap ia jadi pengajaran agar orang diluar sana tidak tertipu dengan skim mengarut ini.

"Sudah banyak yang terkena terutamanya orang Melayu kita dan masih banyak syarikat-syarikat yang membuat penipuan seperti ini dan mereka sangat licik.

"Diharap pengangkapan suspek-suspek itu membuka mata kita semua agar lebih berhati-hati," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post