
Cardi B, berusia 24 tahun. Dia merupakan seorang rapper wanita yang kini menjadi sorotan dunia hiburan Hollywood. Bukan kerana telah meletuskan kontroversi murahan, tetapi Cardi B membuat kejutan yang begitu mengesankan terhadap industri hiburan, terutama nyanyian.
Dengan single berjudul Bodak Yellow, wanita itu telah menyingkirkan penyanyi kesayangan ramai, Taylor Swift dengan lagunya, Look What You Made Me Do untuk menduduki carta nombor satu Billboard Hot 100. Tentulah pencapaian tersebut bukan sahaja kerana berada pada posisi pertama, tetapi kerana selepas hampir dua dekad, Cardi B telah memecahkan tembok untuk menjadi ‘permaisuri rapper’ pada carta itu.
Kali terakhir rapper wanita yang menduduki posisi pertama Billaboard Hot 100 ialah Lauryn Hill dengan lagu Doo Wop (That Thing) pada tahun 1998. Lebih manis adalah Cardi B memanjat tangga itu seorang diri, tanpa berkongsi dengan penyanyi kolaborasi yang lain.
Kejayaannya telah menarik perhatian banyak rapper wanita lain yang jauh lebih berpengalaman daripadanya. Antara yang memberi ucap tahniah kepadanya ialah Nicki Minaj, Missy Elliot dan Lil’ Kim serta Swift sendiri yang turut menghantar sejambak bunga buat wanita itu.
“Terasa seperti baru menang pilihan raya,” katanya menyambut respons terhadap ‘kemenangan’ tersebut.
Bercakap tentang Bodak Yellow, dia yang menjadi artis residen syarikat rakaman gergasi Atlantic Records sejak awal tahun ini memberitahu kemahirannya untuk menjadi rapper dipengaruhi oleh dua orang rapper wanita terkenal, Khia dan Trina.
“Pada awal saya terbabit dalam dunia ini, saya sukakan cara dan lagu-lagu milik Khia dan Trina. Mereka seperti ‘berlawan’ dan ia sangat mengujakan,” jelasnya mengenai cara dia melagukan rapping.
Malah, judul Bodak Yellow pula diinspirasikan daripada seorang rapper lelaki bernama Kodak Black.
“Bodak Yellow diinspirasikan daripada lagu dendangan Kodak Black yang berjudul No Flokin. Saya melihat pengisian atau mesej di dalam kedua-dua lagu ini sama iaitu ia ditujukan kepada mereka yang membenci saya.
“Walaupun dibenci, saya tidak peduli dan akan terus menjadi diri sendiri,” jelas Cardi B kepada EmpireBBK.com.

Sebelum terkenal, Cardi B dianggarkan hanya memperoleh bayaran sekitar RM2.5 juta, tetapi kini mencecah nilai RM17 juta.
Tuah
Siapa Cardi B? Pemilik nama sebenar Belcalis Almanzar itu merupakan seorang anak yang lahir daripada keluarga miskin dan membesar di daerah Bronx, New York, Amerika Syarikat. Lahir daripada keluarga yang berpecah-belah, dia mengaku kehidupan dan persekitaran yang dilaluinya sewaktu kecil adalah tidak sihat.
“Kedua-dua ibu bapa saya orang yang baik. Mereka tidak membenarkan saya keluar rumah untuk berparti. Ya, mereka orang yang baik, hanya saya telah dibesarkan dalam persekitaran yang teruk,” akuinya dalam satu temu bual bersama Dazed.
Dia kemudian memanjangkan bicara dengan memberitahu telah dihalau keluar oleh ibunya daripada rumah. Tidak memperincikan mengapa dia ‘dibuang’, Cardi B sebaliknya memberitahu pada usia 18 tahun dia mendapatkan pekerjaan pertama sebagai juruwang di sebuah pasaraya.
“Malangnya, saya diberhentikan kerja kerana lewat. Saya menangis mengenangkan bagaimana mahu hidup tanpa wang sehingga seorang penyelia di situ menyuruh saya bekerja sebagai penari bogel. Katanya saya mempunyai badan yang cantik dan dengan menari bogel, saya boleh memperoleh wang yang banyak,” katanya.
Dia kemudian menjadi penari bogel dan merahsiakan pekerjaan tersebut selama berbulan-bulan daripada ibunya. Wanita itu hanya memberitahu kepada ibunya bahawa dia bekerja sebagai seorang pengasuh anak-anak kepada seorang hartawan.
“Bagaimanapun, pada akhirnya saya mengalah dan menceritakan hal yang sebenar. Sekali lagi saya dihalau ibu. Saya terus melakukan pekerjaan ini sehingga tahun 2015. Kehidupan menjadi seorang penari bogel sangat sukar.
“Saya menabung dan mengumpul duit untuk hidup sendiri. Saya mahu keluar daripada rumah bekas kekasih yang banyak menipu dan memukul saya, tetapi dengan kewangan yang tidak stabil ke mana boleh saya pergi? Namun, akhirnya saya berjaya juga,” ceritanya yang juga mengaku melakukan pembedahan membesarkan payu daranya kerana berasa rendah diri.
Mengaku mempunyai azam untuk membuktikan kepada ibunya bahawa dia juga boleh berjaya tanpa menamatkan pengajiannya di kolej, Cardi B terus merencana masa hadapannya.
Lantas, sewaktu masih lagi bergelar penari bogel, dia bertemu dengan satu alternatif lain untuk membuatkan dirinya terus bertahan. Dia telah menggunakan pengaruh laman sosial untuk memasarkan bakat dan dirinya.
Dalam sekelip mata, dia menjadi viral dan digelar selebriti Instagram kerana sifat lucu dan karisma dirinya yang pantas menarik perhatian khalayak. Dia membicarakan semua hal secara terbuka termasuk tentang kemiskinan, penipuan, seks dan bagaimana menjana pendapatan dengan melakukan pelbagai kerja.

Cardi B tidak memiliki aplikasi Snapchat, sebaliknya hanya menggunakan Twitter, Facebook dan Instagram untuk memasarkan dirinya.
“Ramai yang bertanya apakah pekerjaan saya. Adakah saya seorang model atau pelawak? Hakikatnya saya bukan kedua-duanya tetapi pada waktu itu saya hanya mahu mencari wang,” katanya yang memiliki sebanyak enam juta pengikut di Instagram dengan nama
@iamcardib.
Popular
Ironinya juga, dengan menjadi selebriti Instagram Cardi B telah menjana pendapatan yang lebih baik daripada sebelumnya. Dia mula diberi perhatian oleh banyak pereka fesyen untuk memperaga sekali gus ‘melariskan’ produk mereka. Bijak menggunakan peluang dengan populariti yang dimiliki, dia meninggalkan dunia penari bogel dan menjadi pengacara pada majlis-majlis tertentu sebelum menceburkan diri sebagai salah seorang bintang selebriti apabila muncul dalam siri keenam program realiti popular di VH1, Love & Hip Hop; New York.
Melalui kemunculannya dalam kaca televisyen itu, dia kemudian mengambil kesempatan melancarkan karier nyanyiannya sebagai rapper.
Selepas beberapa percubaan dilakukan pada tahun lalu, akhirnya Bodak Yellow yang dipasarkan pada tahun ini meledak.
“Sebagai seorang yang pernah menjadi gelandangan, saya berasa seperti telah memberi inspirasi kepada banyak orang dengan jalan kehidupan saya. Saya tidak akan berhenti menyanyi dan akan terus membuktikan kemampuan diri,” katanya.
Ditanya bagaimana perasaannya kini apabila menjadi popular sekelip mata, kata kekasih kepada rapper Offset itu, dia selalu mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah.
Dia tidak pernah yakin jika ada orang yang benar-benar menyukai diri dan muziknya. Bagaimanapun, hari ini, suka atau tidak, Cardi B perlu membiasakan dirinya sebagai seorang selebriti popular yang menjadi perhatian seluruh dunia.
“Sejujurnya, sebelum menjadi terkenal di Instagram dan kini sebagai penyanyi, dahulu saya hanya seperti orang biasa yang juga meminati dan mengikuti perkembangan artis pujaan saya.
“Sekarang, saya tahu, saya mempunyai peminat, tetapi adakah mereka meminati muzik saya? Ia amat menakutkan. Barangkali kerana selama ini orang selalu memandang rendah terhadap saya, tetapi lihat sekarang, saya membuktikan bahawa jangan main-main dengan wanita yang selalu dipandang rendah ini,” katanya penuh makna.