Kuasa vokal 12 orang lama #GegarVaganza


ELYANA

Tiga musim sudah berlalu, program realiti Gegar Vaganza tahun ini memasuki episod baharu apabila bakal dipentaskan untuk musim keempat. Ternyata, penganjuran tersebut membuktikan bahawa program menggunakan format menonjolkan semula orang lama yang bertapak dalam industri nyanyian benar-benar mendapat sambutan menggalakkan.

Semestinya, antara perkara yang ditunggu-tunggu sudah pastilah barisan peserta yang bakal berentap merebut gelaran juara pada musim ini. Bakal memulakan konsert persembahan pertama pada Ahad depan, program realiti itu menampilkan 12 penyanyi yang pernah mempunyai lakaran sejarahnya tersendiri dalam pembangunan industri muzik tempatan.

Mereka yang bakal bersaing itu nanti terdiri daripada enam penyanyi lelaki dan enam penyanyi wanita. Gegar Vaganza kali ini menampilkan Liza Hanim, Elyana, Syura, Raja Azura, Haida dan Aishah mewakili barisan peserta wanita. Sementara itu, peserta lelaki diwakili Hazami, Tia Jinbara, Lan Kristal, Aqasha, Firman dan Ferhad.


HAZAMI

Nusantara

Menariknya, Gegar Vaganza kali ini tampil buat pertama kali dengan membuka ruang kepada artis luar dari negara serantau yang pernah mewarnai industri hiburan tempatan sebelum ini. Justeru, jika dilihat kepada barisan penyanyi yang bakal bertanding terdapat penyanyi dari Indonesia, Firman dan Singapura, Ferhad untuk bersama-sama mewarnai program realiti itu nanti.

Pendekatan baharu itu secara tidak langsung memberi peluang kepada penyanyi-penyanyi dari negara serantau untuk bekerjasama dalam mewarnai industri hiburan di Nusantara khususnya dalam mewujudkan skop pasaran muzik yang lebih luas lagi.

“Menerusi program ini, secara tidak langsung kita dapat melihat muzik dijadikan sebagai salah satu kayu penghubung kepada tiga buah negara ini agar dapat menjalin hubungan lebih kukuh, di samping memberi peluang kepada insan seni berkarya.

“Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara serumpun digunakan sebaiknya oleh kami untuk mewujudkan sebuah platform integrasi seni bersama dengan Singapura dan Indonesia untuk diperluaskan dalam kerangka pencinta seni serantau,” kata Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad.

Katanya lagi, penganjuran musim terbaharu ini boleh dianggap sebagai langkah awal kepada usaha untuk sama-sama memartabatkan karya seni hiburan melalui muzik.

Walaupun masih lagi di peringkat permulaan jelasnya, jika disusun rapi dan dijalin dengan teliti, tidak mustahil jurang pasaran muzik Malaysia ke pasaran negara jiran mampu dirapatkan, sekali gus dapat mengukuhkan lagi hubungan antara negara serantau.

Jelasnya lagi, antara cabaran utama yang dihadapi setiap kali penganjuran adalah proses pemilihan para peserta.

“Setiap mereka yang terpilih masing-masing mempunyai portfolio seni yang mengagumkan dalam bidang nyanyian dan pernah menjadi kegilaan masyarakat suatu ketika dahulu. Bahkan, ada dalam kalangan mereka juga pernah ditabalkan sebagai pemenang anugerah vokal terbaik dalam beberapa acara berprestij industri hiburan,” katanya.

Seperti musim, terdahulu, pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS dikekalkan sebagai juri tetap yang akan dipertanggungjawabkan untuk menilai setiap persembahan peserta berdasarkan kriteria ditetapkan.

“Seorang juri jemputan akan diundang khas secara bergilir-gilir pada setiap minggu. Selain itu, pasangan pengacara, pelakon dan pelawak popular iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse juga masih dikekalkan sebagai pengacara program itu,” tambahnya.


LIZA HANIM

Peluang

Bagi penyanyi Elyana, penglibatan dirinya dalam program itu memberi peluang kepada golongan artis untuk terus mengembangkan karier seninya. Bahkan, katanya program itu juga sudah terbukti berjaya mengembalikan semula kegemilangan penyanyi lama seperti yang dilalui Siti Nordiana dalam musim sebelum ini.

“Melihat impak yang diterima daripada program itu membuatkan saya terpanggil untuk mencuba nasib dan menjalani sesi uji bakat. Sekarang ini, saya perlu melakukan persiapan dari segi mental dan fizikal untuk mengikuti konsert persembahan setiap minggu.

“Saya melihat program ini sebagai satu platform yang memberi peluang kepada penyanyi sedia ada untuk menonjolkan semula kemampuan masing-masing. Walaupun menyanyi itu bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi perasaan gemuruh itu tetap ada untuk naik ke atas pentas,” katanya.

Sementara itu, bagi Aqasha pula, katanya, program itu mengembalikan semula memori lama dirinya yang sebelum ini menceburi industri hiburan dalam lapangan seni suara terlebih dahulu.

“Orang ingat saya ini pelakon sahaja. Sampaikan ada yang lupa bahawa sebenarnya saya bermula sebagai penyanyi.

“Bukanlah sudah tidak berminat menyanyi, cumanya, ketika itu rezeki lebih kepada dunia lakonan. Atas sebab itulah peluang yang datang ini secara tidak langsung mengembalikan semula ingatan orang mengenai kepada dunia nyanyian saya,” katanya.

Masih mengekalkan format asal, nasib para peserta akan diadili sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh pihak juri yang telah dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Juara Gegar Vaganza Musim Keempat bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai RM50,000 dan trofi. Manakala, pemenang tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam pula masing-masing akan memenangi wang tunai RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 setiap satu berserta trofi.

Konsert mingguan akan dibawakan secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil selama lapan minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 29 Oktober 2017 menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Post a Comment

Previous Post Next Post