Sejak mula diperkenalkan kepada umum dalam bentuk visual di layar perak pada tahun 2011, karakter Thor dilihat lebih sinonim sebagai seorang yang berperwatakan tegas, serius dan hebat bertempur di medan perang. Watak adiwira ikonik itu dimainkan oleh aktor kelahiran kelahiran Melbourne, Australia, Chris Hemsworth.
Meskipun disuntik dengan elemen jenaka, namun karisma yang dimiliki menjadikan watak dewa petir kelahiran Asgard berkenaan tampak sempurna dengan personaliti sebegitu.
‘Resipi’ serupa turut digunakan sekali lagi menerusi sekuel filem tersebut bertajuk Thor:The Dark World (2013). Ia bagaimanapun disulam dengan sedikit perbezaan apabila sekuel kedua berkenaan turut menampilkan sisi romantik Thor bersama Doktor Jane Foster lakonan Natalie Portman.
Tidak mengekalkan cara sama, sekuel baharu filem berkenaan bertajuk Thor Ragnarok yang dijadual ditayangkan di Malaysia bermula 26 Oktober depan kemudian menukar layar haluan konsep penceritaan. Jika tidak keterlaluan, boleh dikatakan hampir keseluruhan landskap naskhah tersebut berubah menjadi lebih santai selain sarat dengan babak lucu terutama melibatkan watak Thor sendiri.
Konsep baharu tersebut merupakan perubahan yang dilakukan oleh pengarah, Taika Waititi yang secara tidak langsung menimbulkan perspektif berbeza dalam kalangan penonton.
Nilai estatika karya
Berlatar belakang sebagai pelawak dan mahir dalam mengarahkan karya bercorak komedi, Waititi menggunakan kelebihan tersebut dengan harapan agar penonton menikmati pengalaman berbeza selain dapat menikmatinya secara santai.
Tambahan, siri baharu filem tersebut juga tidak diselitkan dengan babak percintaan antara Thor dan Foster, tetapi penonton masih terhibur saat menyaksikan adegan pertempuran dan kemunculan watak lain seperti Hulk, Doctor Strange dan Valkyrie serta kebangkitan Hela.
Selain plot penceritaan menjadi lebih santai, imej Thor sendiri turut berdepan dengan anjakan apabila gaya rambut panjangnya berubah kepada pendek. Kelihatan seperti tersasar daripada jalan cerita sebenarnya, Hemsworth bagaimanapun mempunyai jawapan tersendiri mengenai imej baharu Thor itu.
Ditemui sehari selepas tayangan perdana Thor Ragnarok di Event Cinemas George Street, Sydney minggu lalu, Hemsworth memperincikan banyak hal tentang naskhah dan karakter yang disifatkannya telah meledakkan namanya dalam industi hiburan dunia.
Bertemu empat mata dengan Hemsworth bersama empat lagi wakil deligasi media Asia iaitu Taiwan, India, Indonesia dan Filipina, harus diakui, aktor berusia 34 tahun itu mudah ‘memancing’ hati khalayak. Sisi humornya yang tinggi menjadi bonus kepada fizikal kacak yang dimiliki pemegang rekod Lelaki Paling Seksi majalah People pada tahun 2014 itu.
“Saya berpendapat bahawa telah tiba masanya untuk melakukan perubahan. Setelah berbincang dengan pihak penerbit, Kevin Feige kami akhirnya mendapat kata sepakat untuk menjadikan karya baharu ini berbeza berbanding terdahulu.
“Elemen komedi merupakan kelainan yang cuba diketengahkan dan saya sendiri berasa gembira sepanjang menjalani penggambaran kerana ia kurang tekanan,” ujar Hemsworth sambil tersenyum hangat memulakan temu bual.
Dalam masa sama, Hemsworth tidak menafikan dia berasa teruja apabila mengetahui ‘simbol mahkota’ Thor mengalami peralihan selain difahamkan hampir 80 peratus bahagian filem tersebut diolah semula berbanding jalan cerita asal.
Menurutnya, biarpun hampir keseluruhan cerita dirombak semula, namun mereka masih mengekalkan bahagian penting agar plot penceritaan masih dapat dikekalkan.
“Secara peribadi, saya mengakui Thor merupakan watak komik yang sangat ikonik dan hebat. Bagaimanapun dalam masa sama, saya sendiri berasa bosan dan beranggapan perubahan perlu dilakukan bagi menampilkan kelainan.
“Gaya rambut baharu adalah perkara yang saya fikir akan menampilkan kelainan berbeza berbanding dua buah karya terdahulu. Sebagai pelakon saya sendiri berusaha menjadikan filem tersebut lebih menarik namun, tetap mendapat persetujuan pihak produksi. Saya kira, sesekali tindakan di luar jangkaan akan memberikan hasil berbeza dan berbaloi,” terang Hemsworth lagi.
Tidak hanya Hemsworth, Waititi turut beranggapan skrip asal hanya dijadikan sebagai tanda aras manakala proses kembangan plot penceritaan merupakan sebahagian daripada kreativiti produksi untuk menjadikan naskhah tersebut lebih menarik.
Bagi pengarah kelahiran New Zealand itu, beliau juga tidak menafikan filem Thor Ragnarok tampak berbeza berbanding karya atau komik asal. Namun, hasil garapan kemas terutama melibatkan babak aksi pertarungan antara Thor dan Hulk menjadikan filem tersebut dinantikan peminat pada tahun ini.
Dijadikan sebagai ‘senjata rahsia’ buat Waititi, elemen komedi bukan sekadar menjadikan filem tersebut lebih santai dan bersahaja tetapi, ia turut mencetuskan keinginan penonton untuk menontonnya berulang kali di pawagam.
“Bukan kerana disebabkan berpengalaman dalam bidang komedi menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menjadikan filem ini lebih lawak dan penuh dengan jenaka.
“Filem ini juga mempunyai pengikutnya tersendiri dan ia bukan satu tekanan buat saya untuk melakukan sesuatu yang mencabar bagi menimba pengalaman baharu. Saya sendiri tidak sabar melakukan perkara yang dapat merosakkan kerjaya sendiri,” seloroh Waititi sambil melepaskan ketawa kecil.
Kelalaian Mark Ruffalo
Meskipun olahan cerita menjadikan karakter kekasih Thor, Foster tidak lagi muncul. Waititi bagaimanapun menggantikan kekosongan itu dengan kehadiran Hulk (Mark Ruffalo).
Idea tersebut tercetus kerana Hemsworth ‘merajuk’ apabila watak Thor tidak tersenarai bagi membintangi filem Captain America: Civil War (CACW) pada tahun lalu.
Dalam nada berseloroh, Hemsworth memberitahu dia berasa kecil hati lantas mengajak Ruffalo untuk bergandingan bersama kerana watak Hulk turut tiada dalam filem CACW.
Katanya meskipun lahir daripada francais Marvel Comics, tetapi mereka tidak pernah berkongsi lensa kamera sama apatah lagi terlibat dalam satu babak bersama.
“Mudah untuk kami mencetuskan keserasian kerana ia bukan satu perkara sukar, sementelah Ruffalo seorang yang mudah untuk didekati dan mesra. Jadi, kami tidak berdepan dengan sebarang masalah terutama apabila terlibat dalam satu adegan sama terutama melibatkan babak pertarungan,” kata Hemsworth tersenyum.
Pada masa sama, Ruffalo tidak menyangka Hemsworth akan mempelawanya membintangi sekuel baharu Thor.
Menyifatkan Hemsworth sebagai seorang yang gemar berjenaka, Ruffalo turut mengakui dia mudah bekerjasama dengan aktor berkenaan.
“Kami gembira berlakon bersama terutama melibatkan babak aksi pergaduhan yang pastinya menjadi antara adegan paling dinantikan penonton. Kami juga saling berkongsi idea dan pendapat agar mendapat hasilkan yang memuaskan,” kata bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.
Selain itu, Ruffalo turut mengharapkan agar beliau masih dapat menonton dirinya di layar perak dalam siri Marvel akan datang.
Perkara itu disebabkan insiden kebocoran filem yang tidak disengajakan oleh Ruffalo sewaktu hadir ke acara tayangan perdana Thor Ragnarok di Los Angeles, Amerika Syarikat pada awal Oktober lalu.
Bersiaran secara audio tanpa visual, tindakannya yang melakukan live streaming menerusi akaun Instagram telah menyebabkan hampir enam juta pengikutnya berjaya mendengar audio filem berkenaan.
“Saya mungkin kehilangan kerja dan ini menjadi peluang terakhir untuk menonton diri sendiri di layar perak membintangi filem terbitan Marvel.
“Segalanya berlaku tanpa disengajakan dan kejadian itu mula disedari ketika seorang wanita menghampiri dan mengatakan Instagram saya melakukan live streaming,” kata aktor berusia 49 tahun berkenaan.
Menyedari akan kesilapannya, Ruffalo bagaimanapun yakin insiden berkenaan secara tidak sengaja telah mempromosikan filem tersebut dan menarik lebih ramai penonton ke pawagam.