The Muhibbain terus sebar mesej positif


Biarpun sudah bertukar ahli, matlamat The Muhibbain tetap satu iaitu menjadikan seni sebagai landasan menyampaikan mesej dakwah dan berkasih sayang.

Terus kekal bersama Erwan Taib, duo ini juga dianggotai juara program realiti Akademi Fantasia 2 (AF2), Zahid Baharuddin, sejak lebih enam bulan lalu.

Jelas Erwan, pertemuan melalui program Viral Radio yang dikendalikan Zahid secara tidak sengaja menjadi faktor kepada penyatuan tersebut.

"Ketika itu, saya di undang menjadi tetamu di rancangan berkenaan. Walaupun baru pertama kali bertemu, kami serasi dan saya tak teragak-agak mempelawa Zahid menyertai The Muhibbain," katanya kepada Media Hiburan.

Tertarik dengan mesej dakwah yang disampaikan, Zahid mengambil keputusan menerima pelawaan tersebut.

Katanya, selain menambah portfolio sedia ada, pembabitannya dalam The Muhibbain bertujuan mempelbagaikan jenis muzik.

Jika sebelum ini muziknya lebih kepada pop dan R&B kata Zahid, dia berpeluang menyanyikan lagu bercorak kerohanian dan ketuhanan yang menjadi satu perkara baru dalam bidang muzik.

Pada masa sama, Zahid juga mengakui masih bebas untuk bergerak solo walaupun masih bersama The Muhibbain.


Malah, jelasnya, keterlibatannya bersama The Muhibbain bergantung kepada beberapa projek istimewa.

"Jadi, saya harap pembabitan itu dapat memberi lebih lagi fokus membabitkan konsep lagu yang dibawa," katanya.

Erwan yang mencelah memberitahu, kewujudan The Muhibbain tidak akan mengganggu perjalanan karier solo bagi setiap ahlinya.

"Saya sendiri turut menghasilkan karya solo. Apa yang membezakannya adalah warna karya masing-masing," katanya.

Single, program motivasi seiring

Dalam perkembangan lain, The Muhibbain baru sahaja melancarkan single pertama, Sebarkan Cinta dan lebih istimewa dilancarkan serentak dengan program motivasi Izinkan Kami Sebarkan Cinta (IKSC), baru-baru ini.

Menurut Irwan, IKSC berfokus menyatupadukan penggiat seni hiburan, ilmuwan dan usahawan di bawah satu bumbung,

Rentetan itu, katanya, program ini bukan sahaja menyelitkan elemen hiburan semata-mata tetapi juga ilmu keagamaan menerusi jenama Mari, Mari, Mari, yang akan berkongsi pelbagai topik menarik serta dirakamkan untuk tontonan umum kelak.

"Program ini baru saja dilancarkan. Saya berharap ia mendapat sokongan semua pihak kerana kami mahu jadikannya acara tahunan," katanya.

Jelasnya, IKSC tidak hanya bertumpu kepada nyanyian semata-mata sebaliknya turut diadakan program ceramah dan motivasi.

"Kami menyasarkan sekolah, balai bomba dan balai polis untuk mengadakan program ini supaya masyarakat terasa lebih dekat dengan ikon-ikon yang terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid berharap program IKSC terus diberi perhatian kerana pengisiannya sangat positif.

"Saya gembira pelancaran single ini seiring program IKSC dan ini secara tak langsung memberi lebih pendedahan buat saya dan tak hanya menyanyi. Malah, turut sama melakukan kerja amal,” katanya.

Selain Erwan dan Zahid, turut menjayakan program motivasi itu ialah penyanyi dan aktivis kemanusiaan Heliza Helmi yang turut merakamkan single terbaru, Izinkan bersama adiknya, Hazwani Helmi dan dua lagi penyanyi lain iaitu Sofea Humairan serta Alya Yassin.

Post a Comment

Previous Post Next Post