Namanya diperkenalkan dalam industri hiburan menerusi program Akademi Fantasia (AF), 12 tahun lalu dan selepas menyertai AF Megastar lebih lapan minggu lalu, penyanyi kelahiran Kelantan ini seolah-olah diperkenalkan semula.
Manakan tidak, menerusi program yang mengumpulkan kembali bekas peserta AF ini, nama Farah Idayu menjadi sebutan sedari minggu pertama sehinggalah saat diumumkan juara Ahad lalu.
Terharu apabila akhirnya bakat yang ada disedari ramai, Idayu tekad untuk kembali merancang kerjaya seninya sebaik mungkin agar situasi yang dilalui lebih 12 tahun lalu tidak berulang.
“Segalanya seperti kejutan sebab suatu ketika dulu bakat dan kehadiran saya tidak dipedulikan malah langsung tidak mendapat peluang untuk berada di depan.
“Namun senario berbeza saya lalui di AF Megastar apabila mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada peminat yang saya tidak tahu datangnya dari mana seawal minggu pertama sehingga saya dinobatkan sebagai juara.
“Inilah yang memberi saya semangat baru untuk terus bangkit dan berjuang mempertahan kerjaya seni saya agar tidak tercicir lagi selepas ini,” katanya.
Idayu atau nama sebenarnya Nur Farah Idayu Yaacob kini didatangi beberapa pihak yang menawarkan diri untuk membantu melancarkan kerjaya seninya selepas ini.
“Sebenarnya sebelum jadi juara lagi, saya dah dapat banyak tawaran yang ingin membantu dan bekerjasama selepas ini.
“Saya memang belum merancang apa-apa, tetapi Insya-ALLAH saya akan berbincang dengan suami untuk melihat apa yang perlu kami lakukan dan buat pertimbangan tentang beberapa perkara untuk kelancaran kerjaya seni saya selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Idayu turut menjelaskan, dia sebenarnya tidak pernah menghilangkan diri dalam tempoh 12 tahun tetapi mengakui tidak mendapat peluang malah namanya tidak menjadi pilihan untuk terlibat dalam persembahan tertentu termasuk program TV.
“Saya mahu terus aktif menyanyi tetapi peluang tak ada. Sepanjang 12 tahun ini saya berdepan dengan jalan yang sukar untuk menempatkan diri.
“Tipulah kalau saya kata tak kecewa dengan apa yang berlaku, tapi bidang nyanyian adalah minat saya sejak dulu walaupun pernah juga terfikir untuk meninggalkannya," katanya yang tidak menyangka mendapat tawaran menyertai AF Megastar.
Hargai peluang kedua
Ternyata peluang kedua ini digunakan sepenuhnya untuk membuktikan dia mempunyai sesuatu kepada industri sekali gus membuka mata sesetengah pihak yang menafikan kemampuannya sebelum ini.
“Saya seperti memulakan perjalanan baru dalam industri seni dan berharap kali ini melalui landasan yang betul," ujarnya.
Kata Idayu, dia juga tidak sabar mendengar lagunya hits di radio dan aktif mengadakan persembahan di TV atau acara penting selepas ini.
Menerima jolokan sebagai Mariah Carey Malaysia, Idayu menganggap ia sebagai satu penghargaan dan melihat gelaran itu sebagai sesuatu yang positif kerana dia sendiri meminati artis itu dan selalu menjadi rujukannya untuk memperbaiki kelemahan.
Walaupun bangga dengan jolokan itu namun Idayu mahu dikenali dengan identiti sendiri sebagaimana yang dilakukan pada malam final AF Megastar.
Belajar daripada pengalaman lalu, Idayu mengakui imej dan penampilannya harus diperbaiki untuk memenuhi tuntutan trend semasa yang cenderung kepada aspek komersial.
Bagi memantapkan kerjayanya Idayu berhasrat menurunkan berat badan kerana percaya penampilan diri sangat penting selain bakat.
“Bukan sebab nak kurus atau tunduk kepada desakan sesetengah pihak, tetapi ia inisiatif sendiri yang mahu lebih selesa ketika membuat persembahan di pentas.
“Bagaimana pun saya tidak mahu terlalu kurus kerana bimbang akan menjejaskan ton suara, cukuplah sesuai dengan ketinggian dan nampak lebih fit,” katanya.
Menyifatkan bertuah kerana mempunyai suami yang sentiasa menyokong minatnya, Idayu mengakui selesa diuruskan suami buat masa ini.
“Dia lebih memahami kehendak saya. Lagipun dia juga dalam bidang seni dan tentunya lebih memahami selok-belok dunia seni yang saya sendiri kurang arif tentangnya,” katanya.