Gegar Vaganza 4 bawa masuk penyanyi luar


Dari kiri; Tia Jinbara, Syura, Liza Hanim, Lan Kristal, Hazami, Haida, Elyana, Aishah, Raja Azura, Firman, Ferhad dan Aqasha mula berentap dalam GV4 pada malam esok.

Selepas tiga tahun bersiaran, rancangan realiti popular, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) tampil dengan kelainan apabila membuka pintu buat peserta negara jiran iaitu Indonesia dan Singapura.

Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, keputusan tersebut dibuat berdasarkan potensi besar yang boleh dicapai GV4 untuk mengukuhkan hubungan antara negara menerusi muzik.

Mahu menjadikan GV4 langkah inisiatif bagi meruntuhkan tembok komersial yang selama ini sukar ditembusi, Raqim berkata, inilah peluang terbaik untuk anak seni berkarya tanpa batasan atau sempadan.

[KONSERT GEGARVAGANZA]


“Kami melihat tindakan menjemput peserta luar negara secara tidak langsung dapat melebarkan publisiti GV4 dan para peserta untuk dikenali di negara serantau.

“Meskipun ia masih pada peringkat awal tetapi jika ia diatur serta dirancang dengan teliti, tidak mustahil GV akan mencipta fenomena baharu di negara lain pula,” katanya pada sidang media GV4 di The Gardens Theatre, The Gardens Mall baru-baru ini.

Sebagai permulaan, wakil Indonesia yang terpilih ialah Firman Siagian yang sebelum ini popular dengan lagu Kehilangan manakala Singapura pula diwakili Ferhad yang dikenali menerusi lagu Aku Pernah.

Sebanyak 10 orang lagi peserta GV4 terdiri daripada Liza Hanim, Aishah, Tia Jinbara, Hazami, Elyana, Syura, Aqasha, Raja Azura, Lan Kristal dan Haida Hafiz.

Dalam pada itu, Raqim turut menafikan dengan adanya kuota pemilihan peserta luar telah mengurangkan tempat buat anak tempatan untuk terpilih dalam GV kali ini.

“Setiap tahun, kami sudah menyediakan kuota yang tetap buat penyanyi tempatan dan kemasukan peserta luar tidak menjejaskan kerusi mereka.

“Peserta negara jiran dijemput masuk ke GV bukan untuk merendahkan bakat penyanyi tempatan tetapi memeriahkan lagi pertandingan dan saling berkongsi ilmu serta pengalaman sesama mereka,” tegasnya.

Liga berbeza

Sementara itu, juri tetap GV4, Datuk Ramli MS berkata, bagi musim ini, beliau dapat merasakan program berkenaan bakal menjadi satu pertandingan yang berada pada tahap tersendiri.

Baginya, peserta-peserta yang terpilih bukan calang-calang dan ada antara mereka yang mungkin sukar untuk dikritik jika dilihat daripada portfolio seni masing-masing.

“Musim kali ini bukan biasa-biasa. Saya dapat rasakan aura pertandingan jauh lebih sengit kerana semua peserta sudah berada pada suatu liga berbeza,” katanya.

Selain Ramli, terdapat seorang lagi juri tetap akan diperkenalkan pada malam konsert minggu pertama, manakala juri jemputan pula akan bertukar-tukar pada setiap minggu.

Program realiti ini juga masih ditaja oleh penaja yang sama sejak tiga musim lalu iaitu produk kecantikan milik Datuk Seri Vida, Vida Beauty.

Masih mengekalkan hos sama iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse, konsert mingguan GV4 akan bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil bermula esok, 29 Oktober setiap Ahad, pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Post a Comment

Previous Post Next Post