Indah Ruhaila akur tersingkir


Biarpun mendapat pujian juri, persembahan Indah pada konsert minggu suku akhir AF Megastar di Royale Theater, Shah Alam, Selangor, Ahad lalu tidak berjaya menawan undian peminat untuk mengekalkan kemaraannya ke peringkat separuh akhir, sekali gus terkandas untuk beraksi pada final program berkenaan pada 22 Oktober nanti.

Mendendangkan rangkaian lagu popular Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma iaitu Mari Jalan Bersama, Gelora dan Bila Larut Malam pada konsert suku akhir AF Megastar malam kelmarin, nyata rezeki tidak berpihak kepada Indah Ruhaila apabila diumumkan tersingkir.

Memungut markah terendah, 22.6 peratus, Indah atau nama sebenarnya, Siti Ruhailah Hussein bagaimanapun akur dengan keputusan yang diadili sebanyak 60 peratus markah daripada juri dan 40 peratus lagi bersandarkan undian peminat.

Reda dengan pengakhiran langkahnya dalam AF Megastar, Indah bagaimanapun berasa sedih kerana akan berenggang dengan teman paling akrab sepanjang pertandingan iaitu Idayu yang berjaya mengekalkan kemaraan ke pusingan separuh akhir.

Mengakui kehebatan vokal penyanyi tersebut, Indah meramalkan Idayu sebagai bakal juara sulung AF Megastar.

Mengulas tentang perjalanan kariernya selepas tersingkir daripada persaingan program tersebut, Indah sudah mempersiapkan diri untuk hadir dengan single terbaharu ciptaan komposer berbakat, Hael Husaini hujung tahun nanti.

KOSMO!: Adakah anda sudah menjangkakan keputusan penyingkiran pada pusingan suku akhir Ahad lalu?

INDAH: Berdasarkan daripada persembahan, saya tidak terperanjat dengan penyingkiran ini. Bagaimanapun, menang kalah adalah adat pertandingan.

Semua yang bertanding dalam pertandingan ini memang hebat. Tema persembahan minggu ini (mash up) pun bukan senang untuk dilaksanakan, apatah lagi semua peserta kena menyanyikan lagu ikon hebat tanah air.

Juri tidak memberikan markah terendah kepada anda, sebaliknya undian peminat yang membuatkan anda tersingkir, boleh anda jelaskan tentang situasi tersebut?

Setiap peminat mempunyai peserta kegemaran masing-masing. Saya fikir mungkin rezeki saya bukan dalam pertandingan ini. Mungkin ada rezeki yang lebih besar menanti di luar pertandingan. Cuma saya sedih kerana terpaksa berpisah dengan sahabat yang dianggap seperti kakak sendiri (Idayu).

Sepanjang berada dalam pertandingan, dialah orang yang banyak membantu dan paling rapat dengan saya.

Menyanyikan lagu Saloma, tidakkah pilihan tersebut terlalu besar buat anda? Mungkinkah pemilihan lagu menjadi antara faktor penyumbang penyingkiran?

Sebenarnya pilihan pertama saya ialah lagu Anita Sarawak. Bagaimanapun, pilihan ikon yang diberikan oleh pihak produksi tidak banyak. Jadi, saya pilih Saloma. Rasanya itu bukan punca penyingkiran kerana saya sudah melakukan sehabis baik.

Pada malam tersebut, saya ingin membuktikan bahawa saya boleh menyanyikan lagu berentak berlainan berbanding lagu bernada tinggi yang biasa dinyanyikan.

Bagaimana anda melihat prestasi persembahan peserta lain yang masih meneruskan pertandingan?

Seperti yang saya katakan tadi, semuanya mempunyai kehebatan masing-masing. Terpulang kepada juri dan peminat untuk tentukan siapa yang benar-benar layak bergelar juara. Bukan senang untuk memilih siapa yang patut berada pada peringkat akhir kerana yang tinggal sekarang semuanya memang hebat.


[KONSERT AF MEGASTAR]


Secara peribadi, anda memilih siapa untuk bergelar juara?

Semestinya Idayu kerana dia sememangnya berbakat besar dan layak untuk diangkat sebagai pemenang.

Baiklah, apa perancangan anda selepas berakhirnya perjalanan dalam AF Megastar?

Saya akan muncul dengan single terbaharu selewat-lewatnya penghujung tahun nanti. Judulnya belum boleh didedahkan, namun lagu berkenaan dicipta oleh Hael Husaini. Insya-Allah.

Post a Comment

Previous Post Next Post