Maya Karin & Remy Ishak kembali bergandingan


Baik Maya mahupun Remy, aktres dan aktor berkaliber itu mengakui sudah mempunyai keserasian yang memudahkan gandingan mereka dalam apa juga naskhah, filem atau teater.

Selepas kali terakhir berkolaborasi di atas pentas teater menerusi teater Natrah yang mendapat pujian banyak pihak, Maya Karin dan Remy Ishak ternyata gembira dan teruja apabila sekali lagi digabungkan dalam pementasan Tun Fatimah Serikandi Empayar Melaka.

Bukan tawaran wang ringgit atau nilai komersial karya arahan pengarah teater berpengaruh, Loqman Ghani itu yang dikejar. Bagi Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak, dia memang menantikan naskhah yang mempunyai elemen bangsawan atau kepahlawanan untuk diikat cermat dalam portfolio seninya.

“Sememangnya saya amat menantikan karya seperti ini, apatah lagi berlakon di bawah arahan Loqman Ghani. Untuk memberikan komitmen 100 peratus dalam teater ini, saya sanggup menolak beberapa tawaran termasuk filem, telefilem, drama dan program travelog.

“Apabila diberitahu Maya akan memegang watak sebagai Tun Fatimah, lagi saya teruja kerana keserasian antara kami memang tidak boleh dinafikan. Peminat juga sering menantikan gandingan kami bersama dan ia membuatkan saya berani untuk menerima tawaran ini,” ujar Remy yang kali terakhir berlakon teater menerusi Cinduo Mato juga bawah arahan Loqman Ghani.

Melakonkan watak ikonik, Sultan Mahmud Shah, Remy sedar bahawa sudah banyak versi cerita yang telah diterjemahkan kepada penonton. Bagi aktor itu, dia perlu banyak melakukan persediaan mental dan fizikal untuk menjayakan watak yang begitu dekat dengan jiwa masyarakat Melayu itu.

“Sudah banyak versi kisah Tun Fatimah dipertontonkan kepada khalayak. Sebagai anak jati Melaka, kisah ini memang dekat dengan diri saya dan kalau boleh saya ingin melazimkan pementasan teater dalam kalangan masyarakat, khususnya orang Melaka.

“Menterjemahkan karakter Sultan Mahmud Shah bukan sesuatu perkara yang mudah. Watak tersebut sangat karismatik terutama melalui percakapan. Bagaimanapun, dalam teater ini saya tidak akan bersilat seperti dalam teater-teater terdahulu,” jelas Remy.

Tanda aras

Ditanya apakah penanda aras buatnya bagi menjayakan watak tersebut, Remy berkata, dia hanya ingin melakukan yang terbaik seraya mengkaji terjemahan watak itu daripada aktor lain.

“Kalau bercakap tentang filem, ada banyak versi. Dari zaman Allahyarham Yusoff Latiff sehingga ke Adlin Aman Ramlie. Saya perlu melakukan kajian dan berbincang secara terperinci dengan pengarah untuk memberi kelainan dan kesegaran terhadap karakter tersebut.

“Apa yang pasti, kali ini saya akan ‘bersilat’ melalui percakapan. Sebelum ini di pentas teater saya banyak bersilat secara fizikal, namun kali ini berlainan sedikit,” kata Remy yang bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Pulang arahan Kabir Bhatia sekitar tahun hadapan.

Sementara itu, diajak berbicara tentang buah tangan seni terbaharu, buat pertama kalinya, Remy terlibat dalam siri drama slot Akasia berjudul Kekasih Paksa Rela. Bergandingan dengan pelakon baharu, Intan Najuwa, Remy sedia berkongsi ilmu lakonan.

“Ini pertama kali drama lakonan saya mengisi slot Akasia. Saya tiada masalah dengan pelakon-pelakon baharu asalkan mereka tahu kerja mereka.

“Memang saya akui, ada segelintir mereka bersifat diva (besar kepala). Ada juga yang dahagakan tunjuk ajar. Kita yang ada sedikit pengalaman, mengapa tidak kongsi dengan mereka untuk menjadikan sesuatu naskhah lebih baik.

“Kalau mereka tidak makan nasihat, biarkan sahaja. Lama-kelamaan, kelibat mereka sendiri dalam industri akan hilang kalau terus berperangai sebegitu,” getus Remy.

Idaman

Sementara itu, Buat Maya yang melakonkan watak Tun Fatimah sememangnya amat teruja kerana watak tersebut telah menjadi idamannya sejak mula bergelar pelakon lagi.

Katanya, banyak perkara yang membuatkan dia tertarik untuk menjayakan watak Tun Fatimah di pentas teater lantas ingin terus mencabar dirinya menjadi seorang aktres yang lebih baik pada masa hadapan.

“Kalau di layar perak, lain atmosferanya. Kalau salah sedikit, boleh diperbetulkan. Di atas pentas teater, anda salah, maknanya memang anda salah dan tidak boleh undur kembali.

“Watak Tun Fatimah memerlukan untuk saya mahir bersilat. Dahulu ada juga belajar sedikit (bersilat) dengan Remy sewaktu sama-sama menjalani penggambaran filem Cun. Untuk teater ini, saya ada masa sebulan sebelum pementasan dan banyak perkara yang perlu dilakukan,” ujar Maya membuka bicara.

Meneruskan perbualan, cabaran buat Maya adalah untuk lancar dalam dialog, apatah lagi teater tersebut berkisar tentang bangsawan. Namun, dia mempunyai strateginya yang tersendiri.

“Saya tidak mahu teater ini menjadi terlalu serius. Kalau serius sangat, bagaimana mahu tarik perhatian penonton terutama golongan belia. Jadi, saya membawa penonton menyelinap masuk ke dalam kisah Tun Fatimah yang lebih mesra dan relaks.

“Cabaran terbesar mungkin dari segi bahasa atau lontaran dialog. Bayangkan, saya perlu melontarkan bahasa berbunga-bunga dan berpantun. Jadi, saya perlu banyak melakukan rujukan,” kata Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke.

Bosan

Berkongsi tentang perkembangan seni terbaharu, Maya sudah selesai menjalani penggambaran filem Munafik 2 dan sebuah filem terbitan produksi dari negara China berjudul Olympic Dream. Dalam pada itu, dia bakal muncul dengan single balada ciptaan sepenuhnya Awi Rafael.

“Munafik 2 sudah selesai penggambaran sekitar Jun lalu dan saya akan muncul dengan single terbaharu berentak balada tidak lama lagi.

“Selain itu, saya juga terlibat dengan sebuah filem berjudul Olympic Dream yang menjalani penggambaran 100 peratus di Pulau Pinang,” kongsi Maya menggulung perbualan.

Diajak berbicara tentang kehidupannya sebagai seorang selebriti, dia mengaku jarang membuat kemunculan pada acara hiburan kerana sudah berasa bosan dengan kehidupan dunia glamor sebagai selebriti.

Jelasnya, hidup dalam glamor langsung tidak melambangkan siapa dirinya yang sebenar dan berasa ia suatu bebanan memandangkan dia adalah seorang yang ringkas dan gemarkan aktiviti lasak.

“Pada sesetengah orang, bangun pagi dan bersiap untuk kelihatan cantik adalah perkara menyeronokkan tetapi bagi saya ia macam terpaksa.

“Saya sebenarnya bosan dengan glamor, sebaliknya lebih gemar lepak di kedai mamak, berkebun atau melakukan aktiviti lasak tanpa perlu saya kelihatan cantik pun. Pendek kata, saya lebih gemar menjalani kehidupan biasa seperti orang lain walaupun saya adalah selebriti,” kata Maya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post