Pengarah Jabatan Kebudayaan Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Zaharudin Basirun (belakang berbaju biru), Mohamad Adzan (belakang dua dari kiri) bergambar bersama antara artis dangdut Malaysia termasuk Ifa Raziah (tengah) yang terlibat dalam Konsert Dangdut Megastra 2017 pada 14 Oktober ini.
Hampir setahun berusaha mencari tajaan dan sokongan, Persatuan Bintang Dangdut Malaysia (Bintang) yang diterajui Ifa Raziah selaku presiden akhirnya berjaya merancang agenda sebuah konsert istimewa khas buat peminat dangdut tanah air.
Konsert yang diberi nama Konsert Dangdut Megastra 2017 tersebut merupakan hasil kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pasukan Orkestra Kuala Lumpur sebagai pemuzik iringan.
Menurut Ifa, konsert berkenaan sebagai antara bukti keseriusan Bintang dalam usaha memartabatkan irama dangdut di persada muzik tanah air.
“Bukan senang untuk mencari rakan kerjasama bagi menjayakan konsert dangdut kerana persepsi masyarakat masih lagi menganggap genre ini tidak layak dibawa ke pentas besar.
“Saya berasa amat bersyukur kerana DBKL memahami dan melihat apa yang cuba saya perjuangkan dalam dunia dangdut, malah lebih istimewa, persembahan semua artis pada malam tersebut akan diiringi orkestra sepenuhnya,” kata Ifa usai sidang akhbar Konsert Dangdut Megastra 2017 yang berlangsung di Biro Pelancongan Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bakal berlangsung pada 14 Oktober nanti, konsert yang singgah ke Panggung Anniversari Kuala Lumpur tersebut akan menampilkan nama-nama besar dalam muzik dangdut seperti Amelina, Salwa Abdul Rahman, Roger Kajol, Fitri Hiswady dan Elda Susanti.
Menampilkan tiga buah lagu bagi setiap penyanyi, Ifa juga memberitahu, meskipun terdapat 25 penyanyi dangdut yang berdaftar dalam Bintang, namun disebabkan kekangan waktu, hanya enam penyanyi dipilih untuk beraksi dalam konsert terbabit.
“Bukan mahu bersikap pilih kasih, cuma kami akan membuat persembahan mengikut giliran. Insya Allah apabila ada lagi persembahan besar selepas ini, nama-nama lain pula akan diketengahkan.
“Ahli-ahli yang tidak terpilih memahami situasi ini, malah akan turut hadir pada malam konsert sebagai tanda sokongan,” tegasnya lagi.
Cabaran
Sementara itu, Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur, Mohamad Adzan Mohd. Fadzil berkata, sepanjang 30 tahun berkecimpung dalam industri muzik, konsert berkenaan menjadi tugasan pertama buatnya menyelaraskan konsert dangdut.
Mengambil tanggungjawab berkenaan sebagai cabaran baharu buat diri serta anak-anak buahnya, Adzan berkata, persembahan menjelang konsert berkenaan pastinya akan membawa kelainan dan tidak akan sama seperti persembahan dangdut lain.
“Ini kali pertama bagi saya bersama orkestra akan mengiringi penyanyi-penyanyi dangdut dalam konsert besar. Secara jujurnya, saya agak berdebar untuk melihat hasilnya.
“Saya berbangga untuk menjadi sebahagian daripada Konsert Dangdut Megastra 2017 kerana ia akan menjadi satu titik lonjak status irama dangdut ke kelas yang lebih berprestij pada masa hadapan,” katanya.
Adzan turut bersetuju dengan keputusan Ifa untuk menampilkan enam penyanyi untuk konsert kali ini memandangkan agak mustahil untuk membariskan ramai penyanyi dalam sebuah persembahan berdurasi sekitar dua jam.
Tambahnya, demi memastikan kualiti nyanyian dan persembahan yang terbaik, bilangan penyanyi yang tidak terlalu ramai perlu diberi perhatian.
“Jika seorang penyanyi membawakan tiga buah lagu, bayangkan betapa banyak lagu yang perlu dimainkan oleh orkestra dan mereka akan kepenatan.
“Jadi, lebih baik kami memikirkan apa yang terbaik untuk diberikan kepada penonton dan tidak cuba sesuka hati meletakkan penyanyi di atas pentas,” ujarnya lagi.