Farah Idayu menangis Tok Ram bagi standing ovation


Persembahan duet Farah Idayu bersama Azharina ketika mendendangkan lagu Kerna Ku Sanggup mendapat standing ovation daripada juri tetap, Ramli MS dan juri jemputan, M. Nasir.

SUatu perkara yang jarang-jarang berlaku apabila persembahan bintang yang disebut-sebut sebagai juara menanti program AF Megastar, Idayu menjemput standing ovation (tepukan berdiri) daripada juri tetap program tersebut, Datuk Ramli MS atau mesra disapa sebagai Tok Ram.

Idayu atau nama sebenarnya, Nur Farah Idayu Yaakob berduet dengan juara Gegar Vaganza musim ketiga, Azharina Azhar menerusi lagu dendangan asal Agnez Monica, Kerna Ku Sanggup.

Boleh dikatakan, Idayu antara yang pertama sepanjang penganjuran Akademi Fantasia yang membuatkan lelaki tersebut memberikan standing ovation simbolik penghormatan tertinggi daripada lelaki yang terkenal dengan kelantangannya itu.

Merendah diri, Idayu yang menggondol trofi Star of the Week pada konsert separuh akhir lalu berkata, dia kehilangan kata-kata apabila dipuji ramai pada malam tersebut, namun tidak mahu terlalu mendabik dada, bahkan mahu bekerja keras menjelang konsert akhir hujung minggu nanti.

Mengakui terkejut dengan sokongan padu khalayak, hal itu membuatkan pelantun lagu Kasih Yang Terpisah itu mengalirkan air mata selain tidak menyangka masih ada pihak yang menghargai nilai bakatnya.

Menjadi calon kegemaran untuk bergelar juara, Idayu akan bersaing dengan Bob, Marsha, Syamel dan Shahir pada kemuncak AF Megastar pada Ahad ini.

KOSMO!: Apa perasaan anda apabila Tok Ram memberikan standing ovation terhadap persembahan pada malam separuh akhir?

Idayu: Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Saya sebak sehingga mengalirkan air mata. Sebenarnya, saya takut juga sewaktu beliau meminta saya menyanyikan beberapa baris lagu raya Datuk M. Nasir (Satu Hari Di Hari Raya). Tidak sangka beliau ingin menguji suara saya.


Sentiasa melahirkan persembahan konsisten setiap minggu, Idayu berjaya memancing undian penonton apabila memenangi trofi Star of the Week.

Ketika di atas pentas apabila Tok Ram memberikan standing ovation, anda seperti mengalirkan air mata, mengapa?

Apabila Tok Ram bagi standing ovation saya berasa seperti di awan-awangan. Mungkin malam itu persembahan saya ‘mengena’ baginya. Selain itu, saya terharu sebab sorakan dan sokongan padu daripada peminat.

Sebelum ini, mana ada benda-benda begini berlaku dalam hidup saya. Saya ingatkan orang sudah lupakan saya, jadi apabila melihat orang bersorak untuk saya, memang sebak tidak tertahan.

Memberikan persembahan konsisten setiap minggu dan sentiasa mendapat pujian daripada juri, adakah anda sudah terlalu yakin untuk bergelar juara?

Eh, tidaklah. Dari awal program ini berlangsung, saya memang tidak meletakkan sebarang harapan. Apa yang saya mahu adalah melakukan yang terbaik setiap minggu. Rasa puas hati sebab dapat buat persembahan dari minggu pertama sehingga minggu akhir. Itu sahaja.

Apa pendapat anda terhadap pendapat juri tetap, Syafinaz yang berkali-kali mengingatkan supaya melakukan pemilihan lagu yang tepat dan jangan terlalu mencuba (menjerit) apabila menyanyi?

Saya setuju dengan pendapatnya. Pemilihan lagu amat penting dalam pertandingan. Kena ikut kemampuan diri dan usah mencuba keterlaluan semasa persembahan.

Untuk final nanti, saya akan menyanyikan sebuah lagu berbahasa Inggeris dendangan Mariah Carey atau Whitney Houston dan sebuah lagu baharu. Semoga saya dapat melakukan persembahan dengan baik.

Anda memang bekerja keras untuk memenangi pertandingan. Disebabkan itu, peminat anda juga bertambah. Adakah anda sedar tentang hal tersebut?

Memang saya bekerja keras pada setiap minggu. Saya nekad. Sewaktu pertandingan baru bermula, ada yang tanya ‘siapa perempuan ini’. Memang ada yang sudah lupa, jadi saya ingin mengingatkan kepada mereka bahawa saya masih ada di sini. Tentang peminat, saya akui zaman saya dahulu mana ada media sosial tetapi sekarang lain situasinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post