Ezlynn, Dah jadi macam rumah tinggal


Penyanyi Ezlynn, 35, kecewa dengan tindakan suaminya, Adam Fahmy Shamsudin, 38, yang didakwa ‘merompak’ dan ‘merosakkan’ rumah mereka.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye ini meluahkan perasaan itu di Instagram, semalam berikutan tindakan suaminya ‘melarikan’ barang-barang seperti televisyen, sistem bunyi dan almari termasuk menanggalkan jeriji pintu rumah berkenaan.

"Saya kini menunggu Adam. Dia berjanji nak pasang semula jeriji di rumah ini. Dia buka semua jeriji dan perlu pasang semula seperti sebelumnya," katanya.

Pasangan ini yang dalam proses perceraian sudah empat bulan tidak tinggal bersama.

“Apabila tiba di rumah, saya lihat jeriji dan banyak barang-barang berharga sudah tiada dan diambil.

"Memang dia yang buat kerja ini. Untuk masuk ke kediaman kami perlu melalui kawalan keselamatan yang ketat dan dalam rekod kawalan keselamatan memang jelas menunjukkan dia yang masuk,” katanya.

Ezlynn berkata, barang-barang itu bukan diambil untuk kegunaan suaminya, tetapi diletakkan di rumah ibunya di Cheras.

“Banyak barang yang diambil hingga rumah ini kelihatan seperti rumah tinggal,” katanya yang turut membuat laporan polis.

Ezlynn berkata, dia percaya suaminya berbuat demikian kerana mahu menyakitkan hatinya berikutan keengganan Ezlynn menjual rumah itu.

"Memang ini rumah kami bersama dan dia bercadang nak jualkan. Saya sudah merujuk dengan pihak bank dan dimaklumkan kami akan kerugian jika menjual rumah dalam keadaan ekonomi sekarang.

"Kejadian terbaru ini berpunca kerana saya menukar kunci rumah. Sudah empat kali dia ambil barang-barang sehingga rumah ini hampir kosong dan atas nasihat keluarga, saya bertindak demikian," katanya.

Ezlynn berkata, dia kesal kerana Adam bertindak menanggalkan jeriji sedangkan suaminya itu boleh menghubungi kakak atau abangnya meminta kunci rumah.

"Dia berjanji akan pasang semula jeriji tetapi barang-barang lain tidak akan dipulangkan,” katanya.

Menurut Ezlynn, pendapatan hasil nyanyian juga dikendalikan Adam dan dia terkejut apabila mendapati jumlah wang di dalam akaun bank miliknya hanya berbaki RM1,000.

Sementara itu, Adam ketika dihubungi meluahkan rasa kesal kerana difitnah isteri sendiri.

"Saya sudah membuat laporan polis kerana difitnah isteri sendiri di media sosial. Tidak logik rompak rumah sendiri kan?," katanya.

Pada 20 April lalu, Ezlynn memfailkan permohonan cerai cara baik terhadap Adam mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1984.

Bagaimanapun, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menetapkan 23 Oktober depan untuk laporan hakam berhubung kes perceraian mereka selepas kedua-dua pihak tetap mahu meneruskan perceraian walaupun selepas melalui proses timbang tara.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 20 November 2011 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Post a Comment

Previous Post Next Post