Astro Tak gam pun Syazwan Zulkifly


Pelakon Syazwan Zulkifly mendakwa dia masih digam Astro berikutan kontroversi membabitkannya dengan seorang personaliti yang juga kakitangan stesen TV berbayar itu dua tahun lalu.

Syazwan berkata, tindakan Astro itu turut menjejaskan periuk nasinya dalam bidang seni tanah air.

Menurutnya, dia mendapat tahu mengenai perkara itu selepas dimaklumkan sebuah syarikat produksi, baru-baru ini.

"Walaupun tiada hitam putih, tetapi ada beberapa projek drama yang sepatutnya saya berlakon terpaksa digantikan pelakon lain.

“Apabila ditanya, produksi drama terbabit mendakwa ia adalah arahan daripada stesen TV terbabit,” katanya.

Syazwan berkata, dia sangat berharap jika pihak Astro menarik semula arahan itu kerana kontroversi itu sudah lama berlalu.

“Perkara itu sudah selesai dan saya juga sudah memulakan hidup baru. Sebagai pelakon, sampai masanya saya fokus untuk mengukuhkan nama dalam bidang seni," katanya.

Ditanya, sama ada dia sudah membuat aduan kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Syazwan berkata, dia belum berbuat demikian.

"Sebagai ahli Seniman, saya juga berharap mereka dapat membantu saya menyelesaikan masalah ini.

"Saya juga ingin menyelesaikan isu ini secara baik dan bersedia jika diminta berbincang dengan pihak pengurusan stesen TV terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad menafikan dakwaan Syazwan itu.

“Kami tidak pernah gam Syazwan atau mana-mana artis lain untuk muncul dalam drama terbitan Astro setakat ini.

"Namun, seseorang artis itu boleh digam pihak Astro jika dia terbabit dalam kes jenayah, dadah dan sebagainya sehinggalah siasatan kesnya selesai dijalankan pihak berkuasa," katanya.

Menurut Raqim, kebiasaannya pihak produksi akan datang bersama senarai cadangan nama artis yang terbabit dalam sesebuah projek drama.

"Pihak kami juga ada barisan panel yang akan menilai dari segi keseluruhan naskhah, jalan cerita serta nama artis yang dicadangkan untuk projek drama itu.

"Selepas itu barulah pihak kami akan putuskan jika watak itu sesuai atau tidak untuk dilakonkan artis terbabit," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post