Eira Syazira tak sedar hamil anak ketiga


Selepas 10 bulan melahirkan anak kedua, pelakon Eira Syazira tidak menyangka dirinya hamil sekali lagi.

Eira memberitahu, dia tidak sedar perut yang disangka buncit selepas mengalami pertambahan berat badan mendadak, rupa-rupanya 'berisi' zuriat ketiga hasil perkongsian hidup bersama suami, Azad Jasmin.

"Saya terkejut disahkan mengandung anak ketiga dengan sebegini cepat. Jika diikutkan, kami merancang biar anak kedua besar dulu, baharu fikir tambah cahaya mata lagi.

"Memang saya tak menjangka akan hamil lagi, tambah-tambah sedar ketika usia kandungan sudah memasuki tujuh bulan. Bermakna, hanya ada dua bulan menunggu hari bersalin.

"Peliknya, fizikal saya tak nampak macam wanita hamil, cuma perut saya agak buncit. Jadi disebabkan tak tahu mengandung, bermacam senaman saya buat," katanya kepada BH Online.

Eira, 30, yang mendirikan rumah dengan Azad pada September 2011 dikurniakan dua cahaya mata iaitu Amarra Sofea Rose, 5, dan Ameisya Leanne Rose, 10 bulan.

Tambah Eira, selepas mendapatkan nasihat doktor dan suami, dia akan berehat daripada aktiviti seni demi menjaga kandungannya.

Post a Comment

Previous Post Next Post