Da'i Fahmi Dapat Tawaran Jadi Penyanyi


Fahmi mahu menumpukan pada pelajarannya terlebih dahulu.

Pemenang tempat ketiga rancangan Da'i Pendakwah Nusantara musim kelima, Da'i Fahmi menceritakan dia menerima tawaran untuk menjadi penyanyi nasyid pada minggu keempat program tersebut berlangsung.

Bagaimanapun, Fahmi atau nama sebenarnya Muhammad Fahmi Zulkifly, 19, menolak tawaran tersebut disebabkan mahu memberi tumpuan kepada pelajarannya.

"Saya pernah mendapat tawaran menjadi penyanyi nasyid oleh sebuah syarikat rakaman. Tawaran tersebut saya terima pada minggu keempat program ini.

"Ketika itu, tema untuk minggu itu adalah lagu dan lirik. Setiap peserta kena melakukan persembahan dengan nyanyian.

"Tapi saya terpaksa tolak tawaran itu kerana tidak bersedia dan mahu menumpukan kepada pelajaran terlebih dahulu," kata Fahmi.


Perbezaan markah antara Fahmi dan Afiqah sebanyak 10 peratus.

Fahmi kini masih menuntut di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Johor Bahru dalam jurusan Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat.

Dalam pada itu, Fahmi yang berasal dari Melaka tidak berasa kecewa biarpun gagal mendapat gelaran juara program realiti yang telah berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral pada malam Ahad lalu.

"Alhamdulillah, dapat tempat ketiga ini pun dah cukup bagi saya. Tak terlintas pun perasaan kecewa tak dapat jadi juara.

"Dapat berada di pentas akhir bersama dua rakan saya iaitu Da'i Hakim dan Da'i Afiqah ini pun saya bangga.

"Ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan insya-Allah saya akan terus belajar untuk menjadi pendakwah yang baik," ujarnya.

Kemenangan itu membolehkan dia membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 serta trofi dan pakej pelayaran penyucian jiwa.

Post a Comment

Previous Post Next Post