Juliana Evans masih belum puas berbulan madu.
Pelakon Juliana Evans masih belum puas menikmati fasa berbulan madu walaupun sudah berkahwin hampir enam bulan dengan Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj.
Juliana berkata, tahap ini disifatkan paling penting kerana bagi mengeratkan hubungan selain memahami perasaan antara satu sama lain.
“Memang kami suka bercuti apabila ada masa terluang terutamanya kalau ke pantai tambahan pula sekarang pun masih lagi dalam fasa berbulan madu.
“Sebenarnya apabila bercuti berdua banyak yang kami boleh belajar tentang diri masing-masing dan inilah masa untuk saya uji dia boleh ‘survived’ atau tak dengan saya.
“Ini juga peluang kami untuk mengeratkan lagi hubungan suami-isteri selain memahami antara satu sama lain,” katanya.
Juliana ditemui pada majlis pelancaran drama mini Mata Cinta yang diadakan di One Utama, Petaling Jaya, Isnin.
Juliana memberitahu mereka merancang untuk bercuti di Pulau Maldives, Hawaii atau pun Bora-Bora dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Juliana berkata semenjak berkahwin dia banyak belajar untuk menjadi seorang isteri lebih baik.
Jelasnya, ia bukan tentang perasaan cinta terhadap pasangan semata-mata sebaliknya bagi menjayakan sesebuah perkahwinan melibatkan banyak perkara.
“Ia bukan tentang I love you sahaja tetapi sebagai isteri saya banyak belajar tentang pengorbanan, tolak ansur dan paling penting saling mempercayai.
“Menerusi perkahwinan, ia juga keluarkan sisi terbaik dan terburuk saya tetapi bagaimana kita mengimbanginya paling penting.
“Sebab itu kami suka bercuti berdua kerana dari situ banyak perkara kami belajar tentang diri masing-masing,” ujarnya.
Juliana bersama suaminya Tengku Shariffuddin Shah.
Bercakap mengenai Mata Cinta, Juliana berkata, ia projek berbeza yang pernah dilakukan sebelum ini kerana konsepnya yang mengetengahkan setiap episod hanya tujuh minit.
Katanya lagi, ia bertepatan dengan kehendak penonton masa kini yang lebih banyak menggunakan telefon pintar bertujuan menonton video kegemaran mereka tanpa perlu menghabiskan masa panjang.
“Seronok berlakon dalam drama ini kerana ia berbeza tapi masih mengetengahkan jalan cerita menarik kepada penonton.
“Karakter saya sebagai Matahari juga berbeza, lebih ‘gila-gila’ dan sangat seronok dapat bekerjasama dengan pelakon-pelakon baharu yang berbakat.
“Drama ini pun inspirasi daripada drama-drama Korea dan pastinya ia dapat menarik perhatian penonton,” ujarnya.
Selain Juliana, Mata Cinta turut membariskan pelakon seperti Sasha Saidin, Dynas Mokhtar selain pendatang baharu, Julian Buteau, Syamin Farid, Aush Abdul Wahid dan Adery Chin.
Ia bakal menemui penonton bermula 9 Oktober ini menerusi platform digital.