Diklasifikasi sebagai penyanyi legenda, Aishah bagaimanapun hanya mahu mencabar diri melalui penyertaannya dalam program realiti, Gegar Vaganza 4 (GV4).
Tambahan pula, katanya, program realiti berkenaan juga memerlukan setiap peserta menyanyikan lagu penyanyi lain.
“Paling utama, saya tak pernah fikir mengenai hal-hal legenda ini. It’s up to them. Pada saya, ini adalah pentas pertandingan dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan status peserta GV," katanya kepada Media Hiburan.
Justeru, kata Aishah, cabarannya sudah tentu ketika memerlukan peserta menyanyikan lagu penyanyi lain. Penentuannya sama ada peserta boleh menyanyi dengan baik atau masih sama seperti penyanyi asal.
Pada masa sama, pelantun Janji Manismu ini turut menyifatkan penyertaannya dalam GV4 sebagai hadiah untuk peminat.
“Sebenarnya, ini khas untuk peminat saya. Saya pun rindu dengan peminat dan melalui maklum balas di FB atau IG, mereka juga merindui saya.
“Saya pun tak pernah berhenti menyanyi tetapi dah lama tak terlibat dengan pentas nyanyian berskala besar," katanya.
Rentetan itu, penyanyi berusia 52 tahun ini mengakui sudah bersedia untuk menerima sebarang kritikan pedas penonton atau juri.
“Ala... saya dah menyanyi lebih 30 tahun. Macam-macam orang dah kritik pasal kita. Ada juga yang nasihatkan saya agar tak baca komen-komen di laman sosial.
“Tapi, saya percaya seramai mana yang akan suka kita, seramai itu jugalah yang tak suka kita, “ katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Kemaafan Dendam Yang Terindah ini juga meminta semua pihak agar lebih bersikap terbuka sekali gus tidak mencampuradukkan penyertaannya dengan parti politik.
Katanya, muzik itu bersifat universal dan semua fahaman atau ideologi serta hal-hal tidak berkaitan harus diketepikan.
"Saya harap penyertaan ini tak dikaitkan dengan sebarang isu lain.
"Jangan campuraduk penglibatan saya dalam politik dengan karier nyanyian yang dah lama saya ceburi.
“Fokus dan tumpuan saya buat masa terdekat adalah untuk mengharungi pertandingan ini sehingga ke penghujungnya. Insya-ALLAH,” katanya.
Selain Aishah, GV4 turut disertai Elyana, Liza Hanim, Syura, Haida Hafiz, Raja Azura, Aqasha, Tia Jimbara, Lan Kristal, Hazami dan dua penyanyi luar iaitu dari Indonesia, Firman dan Ferhad (Singapura).
Konsert GV4 akan diadakan pada 29 Oktober ini, jam 9 malam bersiaran langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil dan disiarkan menerusi saluran Astro Ria (104), Ria HD (123).