Aznil Nawawi, Generasi Baru Lemah Komunikasi


Datuk Aznil Nawawi berhasrat mengelilingi sekolah-sekolah di Malaysia bagi memperkasakan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar.

Pengacara Datuk Aznil Nawawi berhasrat mengelilingi sekolah-sekolah di Malaysia bagi memperkasakan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar.

Aznil berkata, menerusi pemerhatiannya generasi muda pada hari ini kekurangan kemahiran itu yang turut menyebabkan mereka tidak mempunyai suara dalam melontarkan pandangan dan pendapat dengan cara yang betul.

“Saya sudah mempunyai idea ini sejak sekian lama dan sedang bekerja rapat dengan agensi kerajaan bagi merialisasikan impian itu.

“Apa yang saya lihat sekarang ramai generasi baru terutamanya lepasan universiti tiada kemahiran komunikasi dan fikiran kritikal ketika ditanya soalan semasa proses temuduga membuatkan mereka gagal mendapat pekerjaan.

“Sebab itu saya ingin keliling Malaysia, pergi ke sekolah-sekolah, mula dari pelajar sekolah rendah untuk dedahkan kepada mereka mengenai kepentingan komunikasi dan interaksi dalam melontarkan pertanyaan, jawapan malah pendapat,” ujarnya.

Aznil ditemui pada majlis pengumuman pemenang pertandingan cipta kawan Cheek-e yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sri Tasek, Kuala Lumpur pada Selasa.


Dalam pada itu, Aznil berkata, dia bimbang dengan perkembangan komunikasi generasi baharu pada hari ini yang dilihat mula ke arah kebaratan sehingga mampu menggunakan perkataan tidak sesuai di laman sosial.

Katanya, tidak salah bagi seseorang menyatakan suara malah ia salah satu modul yang ingin diketengahkan dalam projeknya itu namun ia perlu dilakukan dengan penuh adab dan sopan.

“Jika kita lihat senario sekarang banyak anak kita yang bukan sahaja sanggup memaki hamun pemimpin tetapi tanpa rasa bersalah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ahli agama dan ibu bapa. Ada pula yang sanggup memukul ibu sendiri!

“Sampai bila kita hendak biarkan keadaan ini berlaku? Takkan hendak tunggu mereka berani hina nabi ke?

“Sebab itu saya ingin adakan kempen ini dalam mengasah kebolehan berkomunikasi dan melontarkan pendapat, menyuarakan pandangan mereka tetapi dengan adab dan cara yang betul,” katanya.

Sementara itu, Aznil berkata, projek berkenaan diharap dapat dilaksanakan secepat mungkin dan mengharapkan ia mendapat sokongan semua pihak.

Malah kata Aznil menjadi hasratnya jika ada mana-mana pengacara tidak kira di televisyen, radio mahupun di pasar raya yang mahu menjayakan projek itu dialu-alukan.

Post a Comment

Previous Post Next Post