Setahun bercuti sebelum kembali menyambung pengajian ke universiti, tempoh tersebut digunakan Aziz untuk mempromosikan karier seninya di Malaysia.
Kehadiran jejaka kelahiran Brunei ini dalam mewarnai gelanggang seni tempatan sudah tidak perlu diperkenalkan lagi.
Mula dikenali dengan single pertama berjudul Senyum yang sering berkumandang di corong-corong radio, kerjaya seni Aziz Harun terus menyinar apabila muncul dengan single kedua, Beautiful dan duet bersama Elizabeth Tan, Mama.
Kini selepas 10 bulan memberi ruang menghabiskan pengajian pada peringkat A-Level di negara kelahirannya, penyanyi berusia 19 tahun itu terus membuktikan keseriusan dalam bidang nyanyian dengan pelancaran single keempat berjudul Jangan.
Lagu yang dilancarkan sejak 22 September lalu tersebut mendapat sentuhan magis daripada komposer terkenal, Ezra Kong, Mike Chan, Romeo dan Faizal Tahir.
“Ini merupakan lagu pertama saya selepas tamat pengajian A-Level. Selepas ini, saya akan bercuti selama setahun sementara mendapat tawaran untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Selama tempoh ini juga saya akan tinggal di Malaysia selama tiga bulan dan kemudian berulang alik antara negara ini dan Brunei untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap nyanyian,” katanya yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Bercerita lanjut tentang single baharu yang disifatkan lebih matang, Aziz menjelaskan, muzik yang diketengahkan dalam single kali ini bergenre balada berbanding lagu-lagu terdahulu yang popular dengan genre pop akustik.
“Lagu Jangan mengisahkan tentang hubungan cinta jarak jauh yang terpisah apabila kekasihnya pergi melanjutkan pelajaran. Lagu ini terinspirasi daripada pengalaman rakan-rakan saya.
“Ia bersifat lebih matang kerana saya melihat situasi industri sekarang yang banyak menyanyikan lagu-lagu berunsur balada seperti lagu Aiman Tino dan Haqiem Rusli. Biarpun sedikit mencabar kerana banyak tona vokal turun naik, namun saya anggap ia sebagai cabaran dan cuba sehabis untuk menyampaikan lagu-lagu sebegini,” katanya yang mengambil masa selama empat hari untuk menyiapkan proses rakaman lagu tersebut.
Tulis lagu
Diajak berbicara soal perancangan sepanjang setahun tempoh bercuti sebelum kembali menyambung pengajian, Aziz kemudian tersenyum kecil. Kongsinya, selain menjalankan promosi untuk single Jangan, dia juga berhasrat untuk menulis lagu.
Aziz bagaimanapun belum sedia memikirkan soal penghasilan sebuah album kerana menyifatkan penglibatan dirinya dalam bidang seni masih hijau.
“Saya selalu berjumpa dengan Ezra Kong. Sebagai seorang komposer, dia banyak berkongsi ilmu penghasilan lagu dengan saya. Daripada situ, muncul minat terhadap penulisan lagu.
“Selain itu, saya akan mengikut perancangan Warner Music Malaysia dalam rangka promosi di Malaysia. Saya tahu, ramai yang bertanya soal album memandangkan sudah mempunyai empat buah single, bagaimanapun saya masih belum yakin untuk sampai ke tahap itu.
“Biarlah kerjaya seni saya matang terlebih dahulu,” kongsinya yang menyasarkan usia 23 tahun untuk muncul dengan sebuah album.
Sebelum mengakhiri bicara, anak bongsu daripada enam beradik itu sempat ditanya soal bidang kursus pengajiannya di universiti kelak
“Saya sengaja memilih bidang selain muzik iaitu pengurusan perniagaan kerana inginkan variasi kemahiran dalam hidup. Buat masa ini, saya sudah memohon memasuki beberapa universiti di Malaysia dan di Amerika Syarikat.
“Jika tiada halangan, saya tetap akan meneruskan nyanyian biarpun sudah melanjutkan pelajaran nanti,” katanya menutup bicara.