Fasa bertenang Fasha Sandha


Fasha bersama adik lelakinya, Ikmal dan dua orang anaknya, Rayfal serta Jemyma.

Sejak Fasha Sandha mengambil keputusan untuk berdamai dan menyelesaikan dua kes mahkamah yang melibatkan dirinya dengan bekas suami, Rizal Ashram Ramli secara baik, pelakon berusia 33 tahun itu kini lebih fokus terhadap hal anak-anak dan kerjaya lakonan.

Fasha yang menarik balik perintah injuksi terhadap Rizal dan kes berhubung pemegang amanah bagi sebuah kediaman di Ampang, Selangor berkata, dia memilih untuk berdamai dan melupakan segala sengketa yang melanda demi kepentingan dua buah hatinya, Putra Rayfal Ramli, 3, dan Putri Raysha Jemyma, 2.

Ditemui pada sidang akhbar Anugerah Skrin 2017 (ASK2017) di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur baru-baru ini, pemilik nama lengkap Nur Fasha Sandha Hassan itu turut menegaskan bahawa perdamaian tersebut bukanlah bermakna dirinya mahu rujuk kembali bersama Jejai, tetapi lebih ke arah memperbaiki hubungan persahabatan yang telah retak.

Dalam pada itu, Fasha turut berkongsi keterujaan apabila telefilem lakonannya, Terima Kasih Ramadan turut tercalon pada ASK2017 yang akan berlangsung 3 November di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

KOSMO!: Boleh kongsikan status terkini Fasha selepas bersetuju dengan cadangan bekas suami untuk berdamai?

FASHA: Alhamdulillah, saya dan bekas suami baik-baik sahaja. Selepas segalanya selesai tempoh hari, saya dan Jejai telah berdamai dan kami meneruskan hubungan sebagai sahabat demi masa depan anak-anak. Bagi saya, semua orang perlu positif dan sentiasa memandang perkara yang baik-baik terhadap seseorang, bukan hanya perkara buruk.

Mengapakah anda bersetuju untuk berdamai dengan bekas suami?

Saya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Meneruskan kes mahkamah atau tidak, saya sentiasa gembira. Hal ini adalah kerana saya sentiasa tahu yang saya berada pada pihak yang benar.

Adakah anak-anak anda bebas bertemu dengan Jejai selepas ini?

Kedua-dua mereka masih dibawah jagaan saya. Jika Jejai mahu melawat, dia perlu terlebih dahulu mendapat keizinan daripada saya.

Setelah melalui semua ini, adakah anda bersedia untuk berkahwin sekali lagi?

Saya tidak pernah menolak jodoh. Buat masa ini, saya sedang berkawan dan mengenali banyak orang. Insya-Allah, saya meletakkan target untuk kembali menjadi isteri pada usia 35 tahun. Namun, ia bergantung juga pada jodoh dan ketentuan Allah. Jika ada, mungkin lagi dua tahun anak-anak saya akan dapat ayah baharu.

Drama Terima Kasih Ramadan menerima pencalonan awal dalam kategori Drama Terbaik ASK2017. Bagaimanapun, calon-calon lain bagi kategori sama masih belum diumumkan. Adakah anda meletakkan harapan yang besar pada penganjuran ASK tahun ini?

Saya sendiri terkejut apabila dikhabarkan mengenai pencalonan ini. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi tetapi sedikit teruja kerana telefilem arahan Paley Yahaya itu diterima baik ketika ditayangkan pada hari raya tempoh hari. Sejujurnya, saya serahkan segalanya kepada rezeki.

Boleh kongsikan mengenai perkembangan terbaharu anda?

Sekarang ini, saya sibuk menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Syurga Yang Kedua. Jika segalanya berjalan lancar, saya akan terbang ke Kemboja pada Disember untuk sesi penggambaran drama Teratai Cambodia.

Post a Comment

Previous Post Next Post