Ayda Jebat bukti mampu nyanyi lagu balada


Lagu balada nyanyiannya bersama Adi 6ixth Sense berjaya meraih hampir 800,000 tontonan selepas 18 hari dimuat naik di laman YouTube.

Mana mungkin menggenggam bara jika tapak tangan disuakan. Namun impian bisa sahaja dicapai andai usaha sekuat kemahuan.

Lagu Pencuri Hati sudah pun menunjuk jalan terbentang untuk Ayda Jebat mencorak haluan. Berkeras membina haluan walaupun terhambat bayangan tidak mampu melantunkan lagu balada, Ayda tetap tidak berganjak mendepani misi bergelar penyanyi versatil.

Bermula dengan tiga single rancak iaitu Siapa Diriku, Pencuri Hati dan Nakal Nakal Nakal, kini Ayda kembali dengan sebuah lagu yang mendefinisikan kemahuan hati.

Biar pernah dikritik tidak mampu menyanyikan lagu balada, dia mahu khalayak tahu, kecintaannya bukan sekadar percubaan.

Ironi, percubaan berani dan pertama kali Ayda menyanyikan lagu berentak balada menerusi single duet terbaharunya, Pinjamkan Hatiku membuktikan telahan mereka meleset semata-mata.

“Sebelum ini ada yang mengatakan saya tidak mampu menyanyikan lagu berentak balada. Maka, saya fikir pendengar tidak dapat menerima lagu baharu saya yang berentak balada iaitu Pinjamkan Hatiku.

“Namun begitu, saya bersyukur kerana lagu nyanyian saya bersama Adi 6ixth Sense itu berjaya meraih tontonan yang tinggi di laman YouTube walaupun baru dimuat naik. Malah, ramai yang memberikan maklum balas positif terhadap lagu itu dan ia benar-benar di luar jangkaan saya,” luah Ayda mengenai lagu Pinjamkan Hatiku yang meraih hampir 800,000 tontonan selepas 18 hari dimuat naik di laman YouTube.


Ayda Jebat & Adi Priyo - Pinjamkan Hatiku

“Tidak salah untuk kita mencuba. Maka, selepas ini saya akan perbanyakkan lagi lagu balada dan akan mencuba lagu-lagu berentak lain,” jelasnya.

Pada masa sama, Ayda juga tidak menolak keharmonian suara dan keserasian yang tercipta antara dirinya dan Adi memberi kekuatan pada lagu tersebut.

“Bukan mudah sebenarnya untuk memilih penyanyi lelaki yang akan berduet dengan saya menerusi lagu itu. Selepas berfikir, saya akhirnya memilih Adi kerana dia sering menyanyikan lagu-lagu runut bunyi untuk drama. Saya berasakan dia paling sesuai menyanyikan lagu Pinjamkan Hatiku.

“Alhamdulillah, paduan suara kami sangat serasi, bahkan cukup mudah bekerjasama dengan Adi,” ujarnya yang bersyukur kerana diberi mandat untuk memilih rakan duetnya menerusi lagu ciptaan Nurzaidi Abdul Rahman itu.

Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 25 tahun itu teruja apabila dicalonkan dalam pencalonan awal kategori SEA Social Wildcard (Malaysia) mewakili rantau Asia Tenggara ke Anugerah MTV Europe Music Awards (EMA) 2017 yang akan diadakan di London pada 12 November depan.

Turut bersaing dalam kategori itu ialah Raisa dari Indonesia, The Ransom Collective (Filipina), Sezairi (Singapura) dan Palitchoke Ayanaputra (Thailand).

“Sejujurnya saya berasa tidak percaya apabila diberitahu mengenai pencalonan awal ini. Masakan tidak, MTV EMA adalah anugerah muzik yang begitu popular di peringkat antarabangsa.

“Maka, saya berharap supaya peminat dan seluruh rakyat Malaysia dapat memberikan undian yang boleh dilakukan secara percuma di laman Twitter,” katanya.

Undian di Twitter perlulah dihantar berserta hashtag #NominateAydaJebat dan #MTVEMA sebelum pukul 7 pagi, 3 Oktober depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post