Farid Kamil dan Zul Ariffin Hadam sepak terajang media sosial


Seorang editor kanan hiburan pernah memberitahu penulis bilamana antara percaya ataupun tidak, kuasa yang dimiliki media sosial ketika ini seumpama ‘membunuh’ hubungan baik dua hala antara golongan artis dan wartawan hiburan.

Senario yang berlaku kini tidak lagi sama untuk kau ambil seperti mana lebih satu dasawarsa sudah. Ini bukan berkaitan sentimen peribadi, sementelahan pula masih ada golongan artis dan media yang bersahabat baik di luar garisan karier.

Cuma apabila bersembang melibatkan jalinan hubungan kerjaya antara kedua-dua pihak, ia jelas berbeza tatkala penangan yang dimiliki media sosial dilihat tidak begitu berpengaruh dalam kehidupan mana-mana artis pada waktu itu.

Arakian kini segala-galanya tampak mudah di hujung jemari. Hatta mahu mempromosikan projek terkini waima cuba menghakis sesuatu kontroversi, akaun media sosial masing-masing dilihat lebih dijadikan keutamaan berbanding menayang pekung kepada sang wartawan yang barangkali lebih arif untuk mengendurkan tekanan.

Kendatipun bukan semua selebriti yang reda dan akur dengan kepesatan dunia teknologi, natijahnya tetap ada. Nescaya ada yang terjerat jika segala yang terpampang di media sosial dijadikan sumber rujukan buat sang pemuja bagi menentukan bagaimana setiap artis kesayangan wajar divisualkan pada kaca mata khalayak.

Menyelami filosofi kedua-dua hero prolifik bernama Farid Kamil dan Zul Ariffin terhadap kuasa yang dimiliki media sosial sememangnya tidak cukup untuk diterjemah dalam sekelip mata.

Suka atau tidak, redup hati pemilik nama sebenar Farid Kamil Zahari, 36, dan Zulkifli Ariffin, 30, ini lantaran warna-warni yang terletus di kanvas internet bukannya selalu indah buat mereka.

Lihat saja apa yang perlu dihadam Farid dan isteri, Diana Danielle apabila ada saja yang tidak kena serta cuba dihakimi netizen di laman sosial.


Farid tidak menganggap kewujudan media sosial sebagai penanda aras kebahagiaan keluarganya.

Bukan ukuran bahagia

Mempercumakan segala-galanya ibarat masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri, Farid sentiasa percaya betapa segala-gala yang terpampang di laman sosial bukan satu bentuk ukuran untuk mengetahui sekonyong-konyong molekul bahagia sebuah keluarga.

“Apa jua yang dipaparkan di laman sosial khususnya Instagram bukannya penanda aras kebahagiaan seseorang.

“Bukan apa, saya tidak perlu mencanang satu dunia selain tidak melihatnya sebagai satu keperluan untuk membuktikan sesuatu, contohnya sama ada kami bahagia ataupun tidak,” ungkapnya penuh makna kepada Sensasi Bintang.

Pada masa sama, Farid lebih selesa menyifatkan laman sosial tidak ubah seperti mana album digital yang menyimpan 1,001 momen bersama Diana dan kedua-dua anaknya, Muhammad, 4, dan Nur Aurora, 2.

Nada sama juga diutarakan Zul yang cuma tertawa dengan sikap sinikal netizen di laman sosial sejak sekian lama.

“Ada yang menganggap saya terkesan dengan kritikan pedas sehingga menyahaktif akaun Instagram baru-baru ini sedangkan tidak,” getusnya.

Ungkap Zul, kuasa yang dimiliki media sosial juga menyaksikan segala-galanya lebih mudah, baik untuk mempromosikan diri mahupun berkaitan dengan bisnes.

“Ia tiada ketika zaman saya masih pelakon baharu, segala-galanya berbeza sekarang.

“Ketika ini, laman sosial boleh diibaratkan sebagai resume buat mana-mana pelakon ketika mahu mencari kerja, segala-galanya sekadar boleh skrol ke bawah untuk melihat sama ada pelakon itu sesuai dengan sesuatu watak ataupun sebaliknya.

“Mungkin, ada yang sekadar mahu bertahan selama dua tahun saja dalam industri, ada pula yang mahu kekal lebih lama.

“Jadi, terpulang sama ada mahu benar-benar ‘menekan pedal minyak’ ataupun sekadar bertenang dan tidak perlu kelam-kabut,” jelasnya.


Zul menyifatkan media sosial sebagai medium terbaik khususnya buat pelakon baharu mempromosikan nilai komersial masing-masing.

Masih turun padang

Pada masa sama, kedua-dua teraju utama filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang menjengah pawagam tempatan pada 12 Oktober depan ini juga lebih selesa turun padang untuk mempromosikan filem dan drama masing-masing berbanding sekadar menguar-uarkannya di media sosial.

“Mungkin ada yang lebih selesa untuk mempromosikan filem menerusi akaun sosial masing-masing, apa sebabnya saya tidak tahu.

“Cuma, promosi merupakan sebahagian daripada apa yang direncanakan buat mana-mana filem. Jadi, apa salahnya untuk turun padang meskipun sekadar watak sampingan,” ujar Zul.

Farid pula memberitahu, dia suka meletakkan dirinya sebagai seorang penonton yang pastinya lebih teruja jika dapat bersama-sama hero setiap kali hadir menyaksikan promosi-promosi filem di mana-mana lokasi.

“Hanya penonton yang tahu bagus ataupun tidak seseorang pelakon, jadi kita perlu sentiasa memperbaiki mutu lakonan supaya ia bukan sekadar mengundang kepuasan diri, sebaliknya turut dirasai dan dihayati penonton,” jelasnya.

Cuma satu saja dilema yang ingin dikongsikan Farid dan Zul acap kali filem-filem baharu menerjah layar perak iaitu masalah cetak rompak digital yang nampak gayanya seakan-akan menjadi trend buat masa ini apabila segala-galanya dikongsikan sesuka hati di laman sosial.

“Seandainya mentaliti serta sikap meminggirkan etika dan sahsiah diri berkaitan isu cetak rompak digital ini tidak segera diperbaiki, jangan salahkan industri kita jika masih berada di takuk yang sama,” kongsi Farid dan Zul seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post