Kontroversi menyesakkan Eyka Farhana & Julia Ziegler


Julia Ziegler melakonkan watak seorang pelacur kelas atasan yang dijual ke Bosnia dalam drama La Luna.

Artis dan kontroversi sememangnya tidak dapat dipisahkan. Dunia hiburan baik di tanah air mahupun di luar negara tidak pernah sunyi daripada cerita-cerita panas yang kadangkala menyesakkan pernafasan.

Sejak dahulu lagi, ada sahaja gambar atau video artis yang ‘ditelanjangkan’ segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab. Ironinya, kesahihan gambar dan video tersebut hanya pemilik badan yang tahu.

Ibaratnya ketandusan bahan penyedap mata jika tiada perkara-perkara kontroversi daripada dunia hiburan. Ironinya, media pula yang dipersalahkan kerana sengaja memperbesar-besarkan lagi keadaan, namun sama ada percaya atau tidak dengan penyebaran tersebut, kebenaran harus dirungkai demi sebuah pembelaan.

Menerusi ruangan Kopitiam minggu ini, Sensasi Bintang tampilkan dua dramatis drama, Julia Ziegler dan Eyka Farhana untuk berkongsi mengenai kontroversi yang pernah melanda mereka.

Eyka baru-baru ini berdepan dengan penyebaran sebuah video lucah yang sedang tersebar di aplikasi Tumblr. Namun, pelakon cantik itu tampil menafikannya.

Sensasi Bintang: Selama menjadi artis, apakah gosip yang terbesar pernah menghimpit kalian?

JULIA ZIEGLER: Gosip-gosip yang pernah melanda saya dahulu kalau boleh saya tidak mahu ingat lagi. Sebelum ini orang pernah melabel saya wanita ‘tingtong’.

EYKA FARHANA: Sebelum ini saya pernah dikaitkan dengan masalah disiplin. Selepas itu, saya belajar daripada kesilapan. Terbaharu, ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengaitkan saya dengan satu video lucah. Ia sangat melampau dan memalukan. Saya masih waras dan belum lagi gila untuk melakukan perkara terkutuk dan tidak bermaruah seperti itu.

Adakah gosip tersebut mencalarkan reputasi kalian sebagai artis?

JULIA: Memang ia memberi kesan kepada saya, tetapi ambil perkara itu dengan hati terbuka. Siapa kenal saya, mereka tahu siapa diri ini yang sebenar. Alhamdulillah, saya boleh terima kecaman. Malah, benda-benda negatif itulah yang buat saya jadi lebih kuat dari semasa ke semasa untuk terus mencorak karier sebagai anak seni.

EYKA: Perkara tersebut sangat memalukan dan memberi kesan kepada saya serta keluarga lebih-lebih lagi ketika kami masih bersedih dengan pemergian arwah kakak pada Ogos lalu. Saya masih waras dan belum gila untuk melakukan perkara terkutuk seperti itu. Saya beri amaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab ini agar membuang video tersebut. Jika tidak, pihak pengurusan akan membawa perkara ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan undang-undang.

Melihat pada kejadian yang menimpa pelakon Fathia yang terlibat dengan video live Bigo, bagi pandangan kalian adakah ia kerana salah pilih kawan?

JULIA: Pada saya, video tersebut memang memalukan. Fathia kena pandai jaga diri selepas ini. Kalau kawan itu merosakkan kita, cuba jauhkan diri. Perkara buruk seperti itu memang akan menghantui hidup kita. Jadi, saya harap dia kuat. Saya juga bukan seorang yang sempurna, namun saya doakan kehidupannya lebih baik selepas ini.

EYKA: Bagi saya tiada komen. Kita belajar daripada kesilapan masing-masing.


Membawakan watak antagonis yang mengalami masalah mental dalam drama Sarah Kirana memberi kepuasan tersendiri kepada Eyka.

Apakah harapan kalian untuk kelangsungan seni pada masa depan?

JULIA: Sudah 10 tahun saya berada dalam industri seni dan akan terus berlakon sampai bila-bila. Saya enjoy dengan apa yang dilakukan, tambahan pula berlakon adalah minat saya.

EYKA: Dari segi kerjaya seni, saya memang minat berlakon sejak kecil lagi tetapi kita tak pernah habis belajar untuk setiap karakter yang diberikan dalam drama mahu pun filem. Walaupun dapat watak sama tetapi setiap penceritaan itu ada pelajaran baharu yang saya belajar. Saya juga mengimpikan untuk menjadi pengarah satu hari nanti. Maka, saya sedang belajar selok-belok pengarahan.

Boleh kongsikan mengenai perkembangan seni terkini kalian?

JULIA: Saya baru habis penggambaran drama Seharum Kasih untuk siaran RTM. Drama berkenaan turut menampilkan Reen Rahim dan Harris Baba. Selain itu, saya akan ke Bosnia bagi menjalani penggambaran drama La Luna di samping Zahirah MacWilson, Azrel Ismail dan Afiq Muiz. Menerusi drama berkenaan, saya melakonkan watak Cuwie, seorang pelacur kelas atasan yang dijual ke Bosnia. Ia juga merupakan pengalaman menarik dan mencabar bagi saya apabila pertama kali membawa watak pelacur dan dapat menjalani penggambaran di Bosnia.

EYKA: Saya baru habis penggambaran Safari Mall dengan aktor Namron, Bront Palare dan Soffi Jikan. Saya juga baru habis penggambaran Kisah Yang Hilang untuk slot Seramedi, TV3. Sekarang saya sedang sibuk menjalani penggambaran Sarah Kirana daripada produksi Suhan Movies untuk RTM. Selama ini saya sering dapat watak baik dan remaja, namun dalam drama Sarah Kirana itu saya bersyukur dapat bawa watak antagonis yang mengalami masalah mental.

Soalan untuk Julia, selama lapan bulan berkahwin boleh kongsikan mengenai kehidupan berumah tangga?

JULIA: Saya tak pernah menyangka kehidupan berumah tangga seindah ini. Sampaikan saya menyesal kenapa tidak kahwin awal-awal dahulu. Anak pula, sudah tentu saya teringin nak anak. Jadi, doakan yang terbaik untuk saya ya.

Soalan untuk Eyka pula, kongsikan sedikit mengenai kisah peribadi Eyka. Sudah ada kekasih? Jika belum kriteria lelaki bagaimana pilihan Eyka?

EYKA: Belum ada yang serius, cuma boleh cakap saya masih dalam fasa berkawan. Masih lagi mencari yang betul-betul serasi dengan saya.

Post a Comment

Previous Post Next Post