Penyanyi Mell yang juga vokalis Sakura Band mengesahkan dia sudah memeluk Islam sejak beberapa bulan lalu selepas memikirkannya secara masak-masak.
Mell atau Melley Matius, 29, mengumumkan berita penghijrahannya itu di Instagram bersempena dengan ulang tahun kelahirannya hari ini.
Menurutnya, keputusan itu diambil atas sokongan ibunya yang juga seorang mualaf Nur Batrisyah, 46.
“Sebenarnya saya peluk Islam sejak beberapa bulan lalu. Saya gembira kerana mendapat sokongan keluarga dan ibu saya pun sudah memeluk Islam.
“Mereka sangat memahami keputusan saya dan tidak membantah pun. Dalam keluarga saya pun memang ramai juga yang beragama Islam,” katanya dihubungi Harian Metro.
Mell bagaimanapun tidak mahu berkongsi lanjut mengenai sebab penghijrahannya memandangkan ia sesuatu yang sangat sensitif untuk sesetengah pihak.
Dia juga masih akan meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian.
“Sebolehnya saya tidak mahu berkongsi lebih mengenai penghijrahan ini kerana saya pun masih lagi dalam proses mendalami Islam.
“Mengenai nyanyian, saya masih akan meneruskan kerjaya seni,” katanya.
Penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu mula popular selepas menganggotai Sakura Band yang popular dengan lagu Polaroid.