Selepas digantung tugas hampir enam bulan, penyampai radio Hot FM, Azizul Ammar Abu Hassan, akui gementar apabila kembali bertugas di konti, dua minggu lalu.
Ammar digantung tugas sebelum ini berikutan isu membabitkan bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek yang berang dengan tindakannya mempersendakan nama mendiang ayahnya sewaktu mengendalikan program Sukan Tak Sentral bersama Marsha.
Ammar yang baru tampil memberi kenyataan kepada media akui gementar memikirkan bagaimana mahu mengembalikan momentum kerja yang sudah dibentuk dengan dua lagi penyampai, Issey dan Deen, sebagaimana sebelum digantung.
“Saya bimbang bagaimana hendak mendapatkan kembali corak persembahan bersama dua lagi teman sekerja yang sememangnya sangat berbakat. Lagipun sepanjang ketiadaan saya mereka jauh di hadapan sedangkan saya harus bermula kembali,” katanya.
Menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran dan tidak mahu mengulangi kesilapan pernah dilakukan sebelum ini, Ammar juga cuba mendapatkan pandangan dari semua pihak termasuk kedua-dua rakan sekerjanya itu.
“Sudah tentu apabila dipanggil kembali untuk bertugas, orang pertama saya rujuk adalah pegawai atasan agar mereka dapat mengingatkan saya kembali apa yang boleh dan tidak boleh saya lakukan apabila bertugas di konti Hot FM.
“Selain itu, kalau saya katakan orang mesti berpendapat ianya klise, tetapi saya harus menjalani sesi latihan sebelum masuk konti," katanya.
Ammar juga mengucapkan terima kasih kepada pendengar yang memberikan komen positif apabila dia kembali memulakan tugas sebagai penyampai radio.
“Ada juga yang berpesan supaya saya lebih berhati-hati selepas ini. Pesanan mereka itu saya gunakan sebagai panduan agar tidak mengulangi kesilapan sama,” katanya.