Aishah Kahwin Lagi Selepas 3 Kali Cerai


Aishah mahu mencuba nasib dalam Gegar Vaganza ke-4.

Penyanyi Aishah mengakui sudah kembali berumah tangga selepas enam tahun bercerai dengan suami ketiganya iaitu pada 2011.

Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 52, berkata, dia melangsungkan perkahwinan tersebut pada tahun ini namun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

“Ya, benar saya sudah kembali berumah tangga dan cukup setakat itu sahaja saya dedahkan,” katanya.

Aishah Mahu Artis Ikut Lunas Islam

Aishah ditemui pada sidang media memperkenalkan 12 finalis program Gegar Vaganza musim keempat yang diadakan di The Gardens Theater di sini, Selasa.

Selain Aishah, 11 lagi penyanyi yang turut bertanding ialah Liza Hanim, Elyana, Syura, Haida dan Raja Azura.

Manakala peserta lelaki pula Aqasha, Hazami, Ferhad, Tia (Jinbara), Lan (Kristal) dan Firman dari Indonesia.

Gegar Vaganza 4 bakal bersiaran secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil Kuala Lumpur bermula 29 Oktober ini.

Tambah Aishah, suaminya itu memberikan sokongan dan galakan dia menyertai program tersebut.


Aishah mempunyai vokal yang mantap.

Menerusi dua perkahwinan pertamanya, Aishah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Armand Azhari, 24, dari perkahwinan pertama yang dirahsiakan dan Azhad Ahlami, 19, menerusi perkahwinan kedua dengan Muhammad Abdullah pada 1997 sebelum sah bercerai pada 2005.

Aishah kemudiannya berkahwin dengan Faizal Sazali Zulkifli pada 2010 namun bercerai setahun kemudian.

Mengulas mengenai penyertaannya dalam Gegar Vaganza, Aishah berharap tiada pihak mencampur-adukkan penglibatannya dalam politik sebelum ini dengan pertandingan itu.

Kata Aishah, dia sendiri ingin memberikan fokus sepenuhnya kepada pertandingan itu kerana sudah lama tidak aktif sebagai penyanyi.

“Saya berharap penyertaan saya ini masyarakat lebih terbuka dan tidak mengaitkan apa-apa.

“Kita letak dahulu semua fahaman, perbezaan atau sahaja benda-benda tidak berkaitan ke tepi kerana muzik itu bersifat universal.

“Malah fokus saya pun sepenuhnya terhadap muzik dan tolak ke tepi semua benda lain,” jelasnya yang kini merupakan pengikut Parti Amanah Negara (Amanah).


Pun begitu kata Aishah, dia sudah bersedia dengan pelbagai tohmahan dan kritikan netizen terhadapnya kerana tidak dapat menghalang perkara itu.

“Itu perkara biasa. Akan ada orang suka dan tidak suka dengan kita. Ada orang pesan dengan saya bila pertandingan bermula jangan baca komen.

“Tapi tidak mengapa kerana saya sudah bersedia dan berfikir masak-masak sebelum bersetuju untuk bertanding,” ujarnya.

Sementara itu, Aishah berkata, ada pihak turut mempertikaikan keputusannya menyertai GV4 kerana merasakan ia seolah-olah merosakkan namanya sebagai penyanyi profesional berpengalaman.

Kata Aishah, dia tidak pernah memikirkan soal status sebaliknya ingin mencabar dirinya menyanyikan lagu-lagu penyanyi lain dalam sebuah pertandingan.

“Saya tak fikir pasal orang kata saya tak layak kerana saya penyanyi legenda kerana itu label yang orang lain letakkan pada saya.

“Saya ingin mencabar diri menyanyikan lagu orang lain pula kerana sudah 30 tahun asyik nyanyi Janji Manismu.

Dalam bidang politik, Aishah pernah dicalonkan untuk bertanding kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) mewakili PAS namun tewas di tangan calon Barisan Nasional, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Post a Comment

Previous Post Next Post