Elly Mazlein Pertahan Tuntut Nafkah Anak Baca


Penyanyi Elly Mazlein tetap dengan pendiriannya mempertahankan tuntutan nafkah terhadap anaknya Putri Sara Sefhia yang berusia setahun.

Sebagai ibu, Elly berkata, dia bersikap 'keras hati' dalam isu tersebut dan mahu hak anaknya itu terpelihara.

"Saya keraskan hati tentang isu berkaitan tuntutan nafkah anak dan ini semua adalah hak anak saya.

"Jadi, kita ikut sahaja apa kata mahkamah dan saya tak mahu mengulas lebih-lebih tentang hal ini," katanya kepada mStar Online.

Elly ditemui di majlis pelancaran dan pelantikannya selaku duta produk Lentik Dara di Kuala Lumpur pada Selasa.

Elly berkahwin dengan pengarah drama, Azmi Hatta pada 9 November 2014 namun mengambil keputusan untuk bercerai pada 15 Oktober 2015.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengeluarkan perintah agar Azmi membayar nafkah bulanan kepada anaknya sebanyak RM1,500 pada 12 Oktober tahun lalu.


Elly Mazlein (kanan) bersama pengasas Lentik Dara iaitu Nur Afifah Wan Mhd Kamal.

Sementara itu, sering diajukan soalan mengenai jodoh, penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan ini tidak ambil pusing dengan soalan tersebut.

Sebaliknya, Elly menganggap peminat dan rakan media mengambil berat tentang dirinya kerana mahu melihat dia bahagia dengan lelaki idaman.

"Saya tak kisah dengan soalan tentang jodoh dan memahami niat peminat yang mahu melihat saya menemui cinta baru.

"Yang penting kita sendirilah yang kena pandai memberi jawapan agar tidak melukakan mana-mana pihak dan mungkin itu juga doa mereka untuk saya," katanya.

Bercakap mengenai produk Lentik Dara, Elly memberitahu berat badannya berkurang sebanyak lima kilogram dalam masa sebulan sejak mengamalkannya.

Mengakui teruja dengan perubahan berat badan, Elly bersetuju menerima tawaran menjadi duta produk kerana keberkesanannya.

"Alhamdulillah tak sangka berat saya turun hampir lima kilogram sejak menggunakan produk ini dan sangat mudah diamalkan. Tak perlu nak berpantang," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post