Zulin Aziz fokus kerjaya radio


Dua tahun bersama Suria FM, pelakon dan pengacara Zulin Aziz gembira sempat berguru dengan Halim Othman cara penyampai radio bekerja.

Berganding dengan Fizi Ali dan Sharol Shiro, Zulin akui belajar mengawal suara serta guna bahasa serta perkataan bersesuaian dengan berita yang ingin disampaikan dengan Halim.

“Saya sempat bekerja dengannya dan belajar banyak perkara terutama membabitkan kerja-kerja kami ketika berada di konti. Dia ajar saya kriteria yang harus ada pada seorang juruhebah.

“Ketika Halim masih lagi bekerja dengan kami, saya dan Fizi hanya mengikut rentak dia sebagai orang lama. Kami sesekali mencelah dan menggamatkan lagi suasana pagi.

“Saya sempat bekerja setahun dengan abang Halim. Sebelum meninggalkan Ceria Pagi Suria, dia sempat memberikan tunjuk ajar mengendalikan situasi yang tidak diduga,” katanya.

Zulin atau Farah Azleenda Abdul Aziz akui, kini makin selesa bergelar penyampai radio. Katanya, ada banyak tawaran lakonan yang diterima tetapi terpaksa ditolak.

Katanya, rezeki dalam bidang lakonan tidak pernah putus tetapi untuk sementara waktu dia mahu fokus usaha menjadi penyampai radio berjaya.

“Sebenarnya saya rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran tetapi demi impian bergelar penyampai radio, saya terpaksa melupakan dunia lakonan buat seketika.

“Bukan menolak rezeki tetapi saya tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak. Hanya kerana terlalu mengejar dua perkara itu, semuanya jadi tunggang-langgang,” katanya.

Kata Zulin, dia pernah berlakon dan dikenali sebagai pelakon, pelawak dan pengacara televisyen. Peluang menjadi penyampai radio digunakan untuk menjadikan karier itu sebagai satu punca rezeki.

“Sebenarnya menjadi penyampai radio adalah cita-cita saya. Kini sudah dua tahun saya jadi penyampai radio dan semakin selesa dengan jadual kerja saya.

“Pada usia sekarang, saya harus memikirkan perancangan masa depan dan pendapatan tetap. Dengan apa yang saya dapat, ia mampu menanggung keperluan dan menjalankan kewajipan sebagai anak.

“Saya bukannya mahu jadi jutawan pun sampai perlu bekerja hingga tidak mempunyai masa untuk diri sendiri,” katanya.

Selagi bergelar penyampai radio, Zulin tekad mengurangkan seketika aktiviti lakonan. Pihak produksi sedia memberikan kelonggaran tetapi dia enggan ‘hilang’ daripada konti untuk berada di lokasi penggambaran.

Katanya, dia juga tidak mahu menimbulkan masalah kepada selebriti lain semata-mata mahu mengikut jadual kerjanya. Dia kini ingin melihat bidang mana yang lebih menyerlah untuk dijadikan fokus utama.

“Berlakon sudah, berada di pentas sebagai pelawak juga pernah saya cuba. Saya ingin mencuba sesuatu yang baru selain cabang seni yang sudah diceburi.

“Walaupun saya cuma ada dua babak tetapi saya harus lihat jangka masa lakonan itu. Ada yang hanya selesai pada tengah malam sedangkan saya perlu rehat dan harus berada di konti awal pagi.

“Tahun lalu saya sempat berlakon lima babak dalam satu drama untuk TV3. Saya sudah melalui pengalaman itu. Terpaksa mengorbankan masa rehat kerana selepas selesai penggambaran, saya bersiap-siap untuk ke konti.

“Bukan saya tidak mahu berlakon. Ia sebenarnya kerja yang menyeronokkan. Dapat mencuba pelbagai watak dan berlakon dengan ramai selebriti berbakat dan punya nama besar. Tetapi, masa saya sangat terhad,” katanya.

Pernah muncul dengan single Terbiar pada Mac lalu, lagu itu bagaimanapun kurang mendapat sambutan peminat muzik tempatan. Bagaimanapun, Zulin tidak kecil hati dengan situasi itu.

“Lagu itu bukanlah membuktikan saya serius mahu bergelar penyanyi. Ia hanya sebuah hadiah untuk peminat. Saya masih gembira kerana sambutan dalam media sosial masih memberangsangkan.

“Sejak bergelar penyampai radio, saya sudah sedia berhadapan dengan keadaan seperti ini. Saya tidak sekali-kali akan patah semangat, sebaliknya akan terus menyanyi,” katanya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post