Lee Joon risau


Awal bulan lalu, Lee Joon mengumumkan kemasukannya dalam khidmat tentera melalui laman Instagram miliknya.

Oleh sebab drama lakonannya di saluran KBS 2, Father Is Strange tamat siaran, penyanyi dan pelakon itu menjawab soalan berkaitan khidmat wajib itu.

“Saya rasa kurang selesa mengambil gambar apabila masuk tentera dan ia adalah tindakan yang dilakukan semua orang, jadi saya mahu lakukannya secara senyap.

“Bagaimanapun, ramai pelakon dan kru drama bertanya mengenai tarikh kemasukan. Jadi, saya berfikir adalah lebih baik memberitahu semua peminat sebelum mendaftar,” katanya.

Lee Joon akui agensinya bersetuju dengan keputusannya itu dan berkata artis mereka malu sebab ramai yang bertanya mengenai kemasukannya.

Apatah lagi, lelaki Korea Selatan memang diwajibkan melakukan perkhidmatan berkenaan.

“Saya akan berkhidmat dengan ikhlas dalam tentera,” katanya.

Kata Lee Joon, dia akan mengambil masa bertemu peminat melalui pertemuan khas sehingga awal bulan depan.

Dia akui gembira peminat semakin bertambah selepas drama Father Is Strange bersiaran bulan lalu.

Dia juga tidak takut sekiranya tempoh ‘hiatus’ (berehat) agak panjang kerana menjalani perkhidmatan tentera.

“Rakan memberitahu saya akan menghadapi tempoh sukar (dalam tentera) tetapi hampir semua lelaki Korea wajib melalui pengalaman itu.

“Ia buatkan saya terfikir, adakah wajar seseorang melalui lebih masa sukar berbanding orang lain. Dengan itu saya minta maaf dengan anggota tentera lain yang akan berada di dalam berek yang sama kerana saya lebih berusia daripada mereka,” katanya.

Telahnya, dia juga berfikir cara agar lebih mudah didekati anggota tentera kelak.

Mengenai ‘hiatus’ selebriti sepertinya dalam perkhidmatan tentera, Lee Joon berkata, dia tidak risau kerana ia hanya mengambil masa dua tahun.

Pun begitu, dia akui risau dengan masa depannya selepas keluar daripada perkhidmatan tentera. Anggapannya, dia tidak dapat bekerja di dalam industri hiburan selepas itu.

“Saya akan cuba tengok dalam bidang lain. Ini cara terbaik untuk memikirkannya terutama dari segi kestabilan mental saya ketika itu.

“Saya juga masih muda dan banyak lagi perkara yang mahu dilakukan. Pastinya suatu perkara yang hebat jika dapat meneruskan kerjaya lakonan. Tapi jika tiada lagi tawaran, saya akan buat kerja lain,” katanya.

Difahamkan, Lee Joon akan mendaftarkan diri pada 24 Oktober ini sebagai anggota tentera.

Dalam pada itu, Lee Joon juga berkongsi pendapat kemungkinan memenangi Anugerah Pasangan Terbaik pada anugerah akhir tahun melalui drama Father Is Strange.

Pada 25 Ogos lalu, Entertainment Weekly di saluran KBS menemuramah pelakon drama itu mengenai perasaan mereka sebaik sahaja drama tamat siaran.

“Saya rasa baik tetapi ada juga rasa kekurangan,” kata Lee Joon selepas rakannya, Jung So Min meluahkan rasa sedih selepas drama itu tamat.

Apabila pengacara bertanya soalan berkenaan kemungkinan memenangi Anugerah Pasangan Terbaik susulan hubungan romantik mereka dalam drama itu, Lee Joon akui teringin untuk menerima anugerah itu.

“Memang rasa teringin menerima anugerah itu tetapi saya harus menyertai perkhidmatan tentera, jadi saya tidak rasa dapat menerimanya,” katanya sedih.

Tatkala diberitahu sekiranya ada orang lain yang boleh tolong gambilkan anugerah itu untuknya, Lee Joon mencadangkan ibunya sendiri untuk naik ke pentas.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post